SEBANYAK 10 pusat pemindahan sementara (PPS) baru dibuka di empat daerah di Negeri Sembilan bagi menempatkan mangsa banjir susulan hujan lebat lewat malam tadi. FOTO ihsan APM
SEBANYAK 10 pusat pemindahan sementara (PPS) baru dibuka di empat daerah di Negeri Sembilan bagi menempatkan mangsa banjir susulan hujan lebat lewat malam tadi. FOTO ihsan APM
Ahmad Hasbi

Seremban: Sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) baru dibuka di empat daerah di Negeri Sembilan bagi menempatkan mangsa banjir susulan hujan lebat lewat malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, kebanyakan PPS dibuka sejak lewat tengah malam tadi sehingga pagi ini.

"Sehingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 11 yang masih aktif. 10 PPS baru dibuka membabitkan empat daerah di negeri ini manakala satu lagi PPS adalah PPS yang dibuka ketika banjir gelombang pertama sebelum ini.

"Seramai 239 mangsa daripada 66 keluarga kini ditempatkan di 11 PPS berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berbanding gelombang pertama, daerah Jelebu serta Tampin menjadi daerah terbaharu yang terjejas akibat banjir dan memaksa pihak berkuasa membuka masing-masing empat PPS di daerah terbabit.

"Ia membabitkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Keru, Surau Kampung Gedok, Sekolah Agama Rakyat Felda 4 dan Dewan Semarak Air Kuning di Tampin membabitkan 91 mangsa daripada 25 keluarga.

"Di Jempol sebanyak empat PPS dibuka iaitu SK Felda Palong 1, Balai Raya Kampung Baru Rompin, Balai Raya Kampung Dato Johan dan Dewan Orang Ramai Jelai membabitkan 64 mangsa daripada 16 keluarga," katanya.

Mohd Syukri berkata, dua PPS baharu dibuka di Kuala Pilah iaitu di SK Kuala Pilah dan Dewan Desa Dangi yang menempatkan 16 keluarga membabitkan 55 individu.

"Manakala di Jelebu adalah PPS yang masih aktif sebelum ini iaitu du Balai Raya Kampung Puom. Seramai 29 mangsa ditempatkan di PPS berkenaan," katanya.

#kw PPS, banjir, Negeri Sembilan, APM, Seremban

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 3:15 PM