AMINUDDIN ( dua dari kiri) melawat PPS di SK Palong 1 Jempol. FOTO Ihsan Pejabat MB.
AMINUDDIN ( dua dari kiri) melawat PPS di SK Palong 1 Jempol. FOTO Ihsan Pejabat MB.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Banjir yang melanda kawasan Palong Jempol, dekat sini disifatkan sebagai paling teruk sehingga menyebabkan beberapa jalan runtuh akibat arus air yang kuat, kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menilai keadaan infrastruktur yang rosak itu sejurus air surut bagi membolehkan pembaikan jalan dilakukan segera.

"Saya sudah melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan FELDA Palong 1 yang menempatkan 96 mangsa daripada 19 keluarga.

"Wakil daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan serta Jabatan Sukarelawan (RELA) turut membantu mangsa," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan sebanyak empat laluan di negeri ini masih ditutup kepada semua kenderaan.

Menurutnya, jalan berkenaan ialah Gemas-Tampin berhampiran Jambatan Sungai Gemencheh dan jalan berhampiran persimpangan Kem Sywd Sirajuddin Gemas selain Jalan Felda Jelai 2-Pasir Besar.

"Turut terkesan, Jalan Loop Palong Seksyen 10. Kesemua jalan ini ditutup untuk semua kenderaan dari kedua-dua arah sehingga diberitahu kelak.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan mengelakkan daripada melalui laluan terjejas bagi memastikan keselamatan," katanya.

Mengenai lokasi banjir di Tampin dan Gemas, Aminuddin berkata, beliau turut melawat PPS di Sekolah Kebangsaan FELDA Sungai Kelamah yang membabitkan 769 mangsa daripada 205 keluarga sedang berteduh di pusat itu.

Menurutnya, semua agensi dan jabatan di bawah kerajaan negeri dan Persekutuan sedang digerakkan bagi membantu mereka yang terkesan di seluruh negeri manakala Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) turut menyampaikan bantuan.

"Saya berharap semua pihak mengikut arahan dikeluarkan pihak berkuasa supaya proses pemindahan serta keselamatan semua mangsa terjamin,"

katanya.

Setakat ini, empat daerah terkini di negeri ini yang terjejas banjir iaitu Kuala Pilah, Jempol, Tampin dan Rembau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, setakat ini dua PPS masih dibuka di daerah itu iaitu Dewan Desa Dangi dan Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah.

Beliau yang juga Pegawai Daerah berkata, seramai 116 individu daripada 35 keluarga masih berada di PPS berkenaan.

"Agensi keselamatan terus memantau keadaan cuaca serta sentiasa bersedia memberikan bantuan penyelamatan kepada mangsa banjir," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 10:58 AM