SUSPEK ditahan selepas cuba melarikan diri. FOTO ihsan Polis
SUSPEK ditahan selepas cuba melarikan diri. FOTO ihsan Polis
Juwan Riduan


Lahad Datu: Lelaki warga asing ditahan selepas merempuh sekatan jalan raya (SJR) di sini, tengah malam tadi.

Suspek, 37, tahun itu merempuh SJR di Kilometer 12 Jalan Lahad Datu - Tawau, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner DR Rohan Shah Ahmad berkata, ketika kejadian suspek memandu kereta dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Lahad Datu.

Katanya, suspek merempuh walaupun diarah untuk berhenti bagi pemeriksaan.

"Rempuhan itu menyebabkan sebuah motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) jenis Kawasaki EX250 mengalami kerosakan teruk.

"Bagaimanapun lain-lain petugas tidak mengalami apa-apa kecederaan," katanya dalam kenyataan , hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 180 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya, Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya dan Seksyen 26(2) Akta Polis, Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1986 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Suspek akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 2:25 PM