POLIS memberkas suspek di dalam kawasan blok 12 Ladang FGV PM Sahabat 41, Lahad Datu. FOTO Ihsan Polis
POLIS memberkas suspek di dalam kawasan blok 12 Ladang FGV PM Sahabat 41, Lahad Datu. FOTO Ihsan Polis
Juwan Riduan


Lahad Datu: Selepas kira-kira 12 jam diburu, suspek yang dipercayai menetak mati kanak-kanak lelaki di perumahan pekerja Felda Sahabat 30, di sini, ditahan, hari ini.

Suspek, Paulus Poka Lolo, 33, ditahan sepasukan polis bantuan Felda di dalam kawasan blok 12 ladang FGV PM Sahabat 41, di sini, jam 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, susulan kejadian, polis bantuan Felda mempertingkatkan rondaan kawasan berkenaan dan menemui suspek di kawasan berkenaan.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu kemudian membuat tangkapan semula suspek terbabit," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, soal siasat kemudian mendedahkan lokasi senjata berupa parang yang digunakan oleh suspek ketika kejadian dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) IPD Lahad Datu.

"Susulan pendedahan itu, polis menemui dan merampas sebilah parang berukuran 0.5 meter di kawasan semak tepi jalan Ladang FGV PM Sahabat 41.

"Jarak dari lokasi kejadian ke lokasi tangkapan dianggarkan dua kilometer manakala jarak dari lokasi kejadian ke lokasi senjata ditemui hampir 2.5 kilometer.

"Jarak dari lokasi tangkapan ke lokasi senjata parang ditemui dalam anggaran 500 meter," katanya.

Sementara itu, Rohan berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Lahad Datu esok bagi permohonan reman untuk melengkapkan siasatan.

"Polis percaya dengan tertangkapnya suspek ini dan rampasan terhadap senjata yang digunakan, kes ini dianggap selesai.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Dalam kejadian 7.30 pagi semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut ditetak oleh suspek iaitu rakan kepada bapa tiri mangsa di halaman rumahnya di perumahan pekerja Felda Sahabat 30.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 9:23 PM