FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang pegawai penerbitan di sebuah universiti tempatan direman empat hari bermula, hari ini kerana disyaki mengemukakan dokumen tuntutan palsu bagi projek pendidikan berjumlah kira-kira RM330,000 antara tahun 2018 hingga 2022.

Perintah reman sehingga 17 Februari depan dibenarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas permohonan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Menurut sumber, suspek wanita berusia 40 tahun itu ditahan sekitar jam 4 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Sumber berkata, suspek dipercayai membuat tuntutan palsu bagi projek pendidikan sedangkan kakitangan yang bertugas bawah suspek tidak terbabit dengan aktiviti dan tuntutan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 4:21 PM