Khairy Jamaluddin. FOTO NSTP.
Khairy Jamaluddin. FOTO NSTP.
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sekali lagi menegaskan perolehan vaksin Covid-19 dibuat mengikut prosedur diluluskan Kementerian Kewangan.

Justeru, katanya tiada masalah jika siasatan berhubung perkara itu mahu dilaksanakan.

"Saya tegaskan sekali lagi, perolehan vaksin dibuat mengikut prosedur yang diluluskan Kementerian Kewangan. Tiada masalah jika siasatan dibuat," katanya dalam jawapan ringkas kepada BH.

Khairy ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan butiran mengenai perolehan vaksin Covid-19 dibuat tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC) adalah maklumat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Anwar menjelaskan butiran berkenaan kemudiannya dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebagai makluman dan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi menyiasat perkara itu.

"Yang saya beri itu hanya kenyataan yang disediakan oleh KKM dan Kabinet mengambil perhatian dan kemudian badan-badan siasatan harus siasat benar tidak dan sebagainya," katanya.

Rabu lalu, Anwar mengumumkan pembentangan kertas putih mengenai perolehan vaksin Covid-19 akan dibentangkan di Parlimen selepas kerajaan mendapati kos yang dimuktamadkan sebelum ini tidak mengikuti peraturan kerana tidak mendapat persetujuan daripada Peguam Negara (AG).

Sebelum ini, Khairy menegaskan semua keputusan perolehan vaksin Covid-19 mendapat punca kuasa Jemaah Menteri dan kelulusan Kementerian Kewangan.

Malah, beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau menegaskan perkara itu turut mengambil kira pandangan daripada semua agensi.

"Semua keputusan teratur dan mengikut prosedur operasi standard perolehan vaksin Covid-19, bekalan peralatan dan penyedia perkhidmatan berkaitan bagi menangani Covid-19 di Malaysia," katanya.

Beliau menafikan perolehan itu dibuat tanpa persetujuan Peguam Negara kerana semua perolehan yang dibuat kerajaan ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dibentangkan kepada Kabinet.

"Justeru, AGC akan mengetahui dan memberikan ulasan mereka. Perolehan ditandatangani oleh KKM," katanya.

Pada 28 Julai 2021, Kementerian Kewangan (MOF) menurunkan kuasa kepada KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memuktamadkan perolehan vaksin di peringkat kementerian masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 12:06 PM