MANGSA banjir di Kampung Teluk Mahang, Kuantan mengambil kesempatan ketika cuaca panas untuk menjemur pakaian. FOTO Farizul Hafiz Awang.
MANGSA banjir di Kampung Teluk Mahang, Kuantan mengambil kesempatan ketika cuaca panas untuk menjemur pakaian. FOTO Farizul Hafiz Awang.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Banjir di Kedah dan sebahagian Pahang pulih sepenuhnya manakala mangsa di Johor kekal 22 orang di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS), petang ini.

Di PAHANG, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan banjir di Kuantan pulih sepenuhnya apabila tiga PPS terakhir ditutup selepas kesemua 173 mangsa terakhir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang ini.

Menurut JPBN, PPS yang ditutup ialah Balai Raya Kampung Pahang, Dewan Melati di Penjara Penor dan Dewan Mat Kilau.

Selain itu, banjir di Jerantut turut pulih apabila satu PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak, Mukim Pulau Tawar ditutup 6 petang ini, bagaimanapun mangsa banjir di Raub kekal dengan 21 orang di sebuah PPS.

Di KEDAH, Sekretariat JPB Daerah Kulim Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad memaklumkan PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Madrasah Insaniah Jangkang, dekat Kulim yang dibuka sejak Isnin lepas ditutup sepenuhnya pada 11 pagi tadi.

Beliau berkata seramai 18 mangsa daripada enam keluarga dari Kampung Padang Limau dekat Mukim Karangan yang berlindung di PPS itu dibenarkan pulang.

Di JOHOR, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir petang ini kekal 22 orang daripada tujuh keluarga yang ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Seberang Batu Badak, Segamat.

Jawatankuasa itu dalam kenyataan petang ini memberitahu kesemua mangsa itu belum dibenarkan pulang atas faktor keselamatan berikutan air banjir yang masih belum surut sepenuhnya.

Menurut JPBN, keadaan cuaca di seluruh negeri itu diramalkan cerah petang ini, namun paras air Sungai Bekok di Batu Pahat masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 18.78 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 7:23 PM