MUHAMMAD Qayyim Nizar Sarimi.
MUHAMMAD Qayyim Nizar Sarimi.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Matanya tidak dapat melihat tetapi Muhammad Qayyim Nizar Sarimi celik al-Quran.

Kelebihan dikurniakan Allah SWT kepada pemuda 25 tahun itu membolehkan dia menguasai semua tujuh jenis taranum dengan baik.

Antaranya Baiyati, Soba, Hijaz, Nahwand, Rast, Sikah dan Jiharkah.

Muhammad Qayyim yang juga pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Tahfiz dengan Pengurusan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kelantan berkata, dia mempelajari taranum sejak berusia sembilan tahun.

"Proses pembelajaran saya kebanyakannya berguru. Mereka ialah Allahyarham Ustaz Fauzi Awang, Allahyarham Ustaz Abdul Rahim Ahmad dan Ustaz Yahya Daud ialah guru saya sekarang.

"Daripada tujuh taranum ini, taranum Sikah bagi saya yang agak susah. Alhamdulillah, saya sudah menguasai semua," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, minat untuk mempelajari taranum timbul selepas mendapat dorongan dan sokongan daripada kedua ibu bapanya.

Lebih membanggakan apabila Muhammad Qayyim pernah dinobatkan johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M.

"Kepada semua remaja yang mahu belajar taranum silakan kerana al-Quran ini mesti dibacakan dengan elok dan berlagu.

"Dalam hadis juga ada mengatakan 'Bukanlah di kalangan kami sesiapa yang tidak melagukan al-Quran'. Jadi kena belajar dan nak belajar perlu ada minat," katanya.

Terbaharu, Muhammad Qayyim yang berasal dari Ketereh, Kelantan dipilih menjadi juri program Akademi Qurra' yang akan ditayangkan pada setiap Sabtu, jam 9 malam di TV Alhijrah.

"Sebenarnya saya tak pernah terbabit sebagai juri dalam mana-mana pertandingan. Sebelum ini saya hanya membantu dari segi lagu taranum, jadi kalau ada peserta yang mahu bertanding, mereka akan minta tolong saya.

"Apabila pertama kali menjadi juri ini saya agak gementar. Mula-mula memang berdebar, tapi bila sudah biasa, jadi lega," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 6:55 PM