GEMBIRA menunjukkan piala yang dinobatkan johan qari Majilis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
GEMBIRA menunjukkan piala yang dinobatkan johan qari Majilis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi

“MEMANDANGKAN jadual pengajian di kolej amat padat pada siang hari, saya akan menjalani latihan selepas waktu Isyak bagi memantapkan lagi mutu bacaan serta ilmu taranum.”

Itu kata johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 22, ketika tanya mengenai persiapan menjelang majlis tilawah peringkat antarabangsa yang dijadualkan berlangsung April depan.

Qari cacat penglihatan dari Kelantan itu berkata, dia perlu bijak membahagikan masa memandangkan dia turut menggalas tanggungjawab sebagai penuntut Diploma Tahfiz Al-Quran di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri.

Katanya, dia akan mendapat bimbingan daripada bekas qari kebangsaan iaitu Ustaz Yahya Daud; Ustaz Fauzi Awang dan Ustaz Abdul Rahim Ahmad yang juga menjadi pakar rujuk utama dalam bidang ini.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran pada pertandingan itu, tetapi akan memberi yang terbaik demi negara selain membanggakan ahli keluarga.

“Kejayaan dikecapi kini adalah rezeki daripada Allah dan saya sentiasa mengekalkan prestasi dengan memperbanyakkan latihan dan sentiasa belajar daripada kesilapan lalu.

“Menjelang hari pertandingan, saya tidak terlalu mengamalkan pantang larang, namun seminggu sebelum pertandingan, saya kurangkan minum ais selain mengamalkan pemakanan sunnah,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Kesyukuran dan Solat Hajat di Masjid Mukim Kadok di Kota Bharu.

MUHAMMAD Qayyim  memperdengarkan bacaan al-Quran  pada Majlis Kesyukuran dan Solat Hajat di Masjid Mukim Kadok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMMAD Qayyim memperdengarkan bacaan al-Quran pada Majlis Kesyukuran dan Solat Hajat di Masjid Mukim Kadok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Muhammad Qayyim Nizar berkata, selain menyertai pertandingan tilawah, dia juga pernah diundang memperdengarkan bacaan kalam suci di hadapan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan ketika Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan di Ankara pada 2016.

Sabtu lalu, Muhammad Qayyim dan qariah dari Perak, Puteri Kalimatul Azzua Hamid masing-masing dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M yang diumumkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu.

Menerusi kemenangan itu, mereka masing-masing membawa pulang RM15,000 serta tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderahati dan sijil yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Berita berkaitan

Qari cacat penglihatan johan tilawah al-Quran

OKU buta tiga kali johan qari

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 8:02 AM