BERNAMA

Kuala Lumpur: Perayaan Thaipusam kembali meriah di seluruh negara selepas dua tahun disambut secara sederhana akibat pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19.

Kemeriahan dirasai di lokasi utama sambutan di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves dengan penganut beragama Hindu kembali berarak membawa kavadi, selain menjunjung Paal Kudam iaitu tabung susu.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar ketika ditemui di kuil berkenaan, menasihatkan penganut Hindu dan pelancong supaya sentiasa berhati-hati dengan penularan Covid, selain menjaga kebersihan terutama di perkarangan kuil.

"Bagi tahap keselamatan saya perhatikan keadaan di sini adalah cukup baik. Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada semua penganut Hindu di seluruh negara," katanya kepada pemberita ketika meninjau sambutan hari Thaipusam, di sini.

Di SELANGOR, dianggarkan 150,000 penganut Hindu hadir ke Kuil Sri Subramaniar Swamy di Kuala Selangor sejak semalam.

Pengerusi kuil itu P Kannathasan berkata, jumlah pengunjung bertambah 30 peratus, berbanding dalam tempoh tiga tahun lalu.

"Ramai orang datang ke sini terutama mereka yang bernazar, kerana sudah dua tahun perayaan ini ditangguhkan, selain kita juga beri makanan percuma kepada pengunjung yang hadir sejak semalam hingga esok, hasil sumbangan orang ramai," katanya.

Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat ke majlis santapan sempena perayaan Thaipusam di kuil berusia 50 tahun, Kuil Arulmigu Sri Balasubramaniar di Skudai hari ini. FOTO BERNAMA
Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat ke majlis santapan sempena perayaan Thaipusam di kuil berusia 50 tahun, Kuil Arulmigu Sri Balasubramaniar di Skudai hari ini. FOTO BERNAMA

Di JOHOR, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan berangkat ke majlis santapan sempena perayaan Thaipusam peringkat negeri di Kuil Arulmigu Sri Balasubramaniar, Skudai, Johor Bahru.

Ketibaan Sultan Ibrahim pada 11 pagi disambut Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan pengerusi kuil berkenaan Datuk S Balakrishnan.

Pada majlis yang dihadiri hampir 10,000 penganut Hindu itu, Sultan Johor turut berkenan menerima sumbangan RM5,000 daripada pihak kuil untuk Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, dan cenderahati belanga diperbuat daripada perak yang ditempah khas dari India.

Penganut agama Hindu membawa kavadi bagi upacara keagamaan ketika berarak sempena sambutan Thaipusam di Kuil Sri Balathandayuthapani, hari ini. FOTO BERNAMA
Penganut agama Hindu membawa kavadi bagi upacara keagamaan ketika berarak sempena sambutan Thaipusam di Kuil Sri Balathandayuthapani, hari ini. FOTO BERNAMA

Di NEGERI SEMBILAN, Presiden Kuil Sri Balathandayuthapani di Jalan Yamtuan, Seremban, R Parameswaran berkata, ribuan penganut mengunjungi kuil itu, dengan kira-kira 5,000 daripada mereka berarak membawa Paal Kudam.

Di PULAU PINANG, ribuan penganut Hindu mula membanjiri Jalan Kebun Bunga di Georgetown seawal 4 pagi dengan memakai pakaian kuning yang melambangkan kesucian, sebelum berjalan sejauh dua kilometer ke Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani, di sini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hingga 11 pagi tadi, lebih 500,000 pengunjung menghadiri sambutan Thaipusam sejak semalam, yang berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Penganut agama Hindu meraikan sambutan perayaan Thaipusam di Kuil Kallumal Arulmigu Subramania, Gunung Cheroh. FOTO L MANIMARAN
Penganut agama Hindu meraikan sambutan perayaan Thaipusam di Kuil Kallumal Arulmigu Subramania, Gunung Cheroh. FOTO L MANIMARAN

Di KEDAH, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, sambutan di Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam di Sungai Petani berjalan lancar, selain hampir 700 pegawai dan anggota ditugaskan sepanjang Op Palu di daerah Kuala Muda.

Di PERAK, dianggarkan 25,000 penganut Hindu menyambut perayaan Thaipusam di Kuil Kallumal Arulmigu Subramania, Gunung Cheroh, Ipoh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 4:06 PM
V Sivakumar (tengah) bersama Datuk Seri M. Saravanan (dua kiri) ketika menghadiri sambutan Hari Thaipusam di Batu Caves. Turut hadir, Pengerusi Kuil Sri Mahamariamman Dhevasthanam, Tan Sri R. Nadarajah. FOTO ASYRAF HAMZAH