Mohd Rosydi diiringi polis di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Mohd Rosydi diiringi polis di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Seorang lelaki dihadapkan ke tiga mahkamah berasingan di Ayer Keroh di sini, hari ini, atas pelbagai kesalahan mencuri, rompakan bersenjata, pecah rumah dan menggunakan dadah.

Mohd Rosydi Abdul Manan, 36, mengaku bersalah di dua Mahkamah Sesyen Ayer Keroh yang berasingan dan dijatuhi hukuman penjara 7 tahun dan dua sebatan

Tertuduh didakwa merompak dua individu termasuk menggunakan pisau berdekatan Plaza Pandan Malim dan Bukit Serindit, masing-masing pada jam 7.15 pagi dan 3.01 pagi, 7 Januari lalu dan 19 Disember lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan sudah insaf dan berjanji tidak akan melakukan perbuatan itu lagi.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh.

Hakim Mohd Sabri Ismail dan Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan tujuh tahun (berjalan serentak) serta dua sebatan terhadap tertuduh yang bermula dari tarikh ditangkap pada 12 Januari lalu.

Sementara itu di Mahkamah Majistret pula, tertuduh mengaku salah atas empat tuduhan melakukan pecah rumah dan curi, curi dalam bangunan dan melupuskan harta curi serta dua tuduhan memberikan dadah kepada diri sendiri.

Dia didakwa melupuskan harta curi iaitu cincin emas milik seorang wanita berusia 29 tahun di sebuah kedai pajak di Lorong Bukit Cina pada 20 Disember tahun lalu, jam 9.30 pagi.

Mohd Rosydi seterusnya dituduh mencuri telefon bimbit milik seorang lelaki di Taman Melaka Raya dan pembesar suara milik sebuah kedai telefon bimbit di Jalan Bukit Katil Damai, pada 12 Disember tahun lalu dan 11 Januari lalu.

Selain itu tertuduh didakwa melakukan pecah kedai di Taman Dayang Indah pada 10 Januari lalu serta didakwa menggunakan dadah pada 27 Mei 2015 hingga 5 November 2016.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman penjara tujuh dan enam bulan bagi kesalahan dadah berserta dua tahun pengawasan bermula dari tarikh tangkapan semula pada 18 Januari lalu.

Bagi kesalahan melakukan pecah rumah dan curi, curi dalam bangunan dan melupuskan harta curi, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan dan lima bulan serta berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 12 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 12:19 AM