Nancy melakukan simbolik perasmian WCaRe 2023 di dewan serbaguna Mahligai Gading Lundu, di sini pagi tadi. FOTO MELVIN JONI
Nancy melakukan simbolik perasmian WCaRe 2023 di dewan serbaguna Mahligai Gading Lundu, di sini pagi tadi. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Lundu: Kanser payudara adalah barah utama yang menyerang dan penyebab utama kematian dalam kalangan wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kanser payudara mencatatkan peratusan yang tertinggi iaitu sebanyak 34.1 peratus berbanding kanser lain dalam kalangan wanita di Malaysia.

Menurutnya, ini bermakna kadar insiden kanser payu dara di Malaysia adalah 34.1 kes bagi setiap 100,000 populasi wanita.

"Oleh itu Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCare) dan perkhidmatan ujian mamogram serta Saringan Kanser Serviks (HPV DNA) akan diteruskan sepanjang tahun.

"Pengesanan awal adalah kunci utama bagi memastikan kanser payu dara dapat dirawat dan dikawal melalui kaedah perubatan yang bersesuaian.

"Wanita berumur 30 tahun dan ke atas adalah kumpulan yang paling berisiko mendapat kanser serviks.

"Kepada wanita di luar sana, janganlah takut untuk mengambil ujian ini, saya sendiri pun sudah mengambil ujian ini pada bulan lalu," katanya ketika merasmikan WCaRe 2023 di dewan serbaguna Mahligai Gading Lundu, di sini pagi tadi.

Nancy berkata semua wanita adalah disarankan supaya melakukan ujian HPV DNA setiap tiga hingga lima tahun sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 3:36 PM