Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menyifatkan tindakan pihak yang mempertikaikan usaha kementerian 'mengimport' pakar daripada agensi perumahan Singapura, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sebagai hipokrit.

Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kepayang itu berkata, ini kerana pihak yang sekarang mempertikai tindakan kementerian itu dahulunya mengadakan lawatan ke Singapura juga untuk belajar daripada HDB.

"Tapi (dulu) dia gagal untuk belajar dan sekarang bila kita hendak belajar, mereka pula yang membuat komen (tuduhan) tidak senonoh. Ia menunjukkan sebenarnya sikap 'double standard' sebegini sepatutnya tidak wujud.

"Yang penting saya yakin pegawai di kementerian kita memang ada kepakaran sendiri tetapi kita juga ada kelemahan yang boleh diperbaiki," katanya dalam sidang media majlis penyerahan kunci kepada 10 pembeli kediaman Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Residensi Kepayang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching; Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti KPKT), Datuk Azhar Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Anggota Perbadanan PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff.

NGA Kor Ming pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Kepayang, Ipoh. FOTO L Manimaran
NGA Kor Ming pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Kepayang, Ipoh. FOTO L Manimaran

Majlis itu turut menyaksikan Sesi Pertukaran Dokumen Kerjasama Strategik di antara PR1MA dan Co-op Bank Pertama (CBP) bagi Skim Rumah 'CBP MyPR1MA'.

Nga berkata, belajar daripada negara lain khususnya negara Asia bukanlah sesuatu yang janggal memandangkan Malaysia sedia mengamalkan Dasar Pandang ke Timur iaitu dengan belajar dari Jepun sejak 41 tahun yang lalu.

Beliau turut menegaskan Malaysia mempunyai banyak kerjasama kerajaan kepada kerajaan (G2G) bukan saja dengan Singapura malah dengan negara lain khususnya di rantau Asean seperti Thailand dan Indonesia sejak era 1970-an.

"Bukan saja Singapura, malah kerajaan terdahulu pun ada mengambil perunding dari Australia, Eropah dan Amerika Syarikat malahan tahun ini sebenarnya adalah ulang tahun ke-41 Dasar Pandang ke Timur.

"Jika dengan Jepun kita boleh belajar mengapa tidak boleh dengan Singapura selagi mana ia baik dan memanfaatkan rakyat? Seperti saya katakan sebelum ini, sebenarnya perkongsian ilmu dan kepakaran adalah sentiasa dialu-alukan.

"Apatah lagi HDB Singapura diiktiraf sebagai antara (agensi perumahan) terbaik di dunia," katanya.

Kelmarin, Nga dilaporkan berkata, KPKT tidak teragak-agak mengambil tindakan perundangan kepada ahli politik yang membuat tohmahan, fitnah dan cubaan menghasut rakyat susulan membawa masuk pakar dari HDB Singapura untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman berhubung isu perumahan.

Beliau turut mengatakan bahawa hubungan bersama pihak HDB Singapura sudah dimulakan sejak 2018 apabila mantan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu bersama delegasi menyertai lawatan ke Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2023 @ 1:50 PM