GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang bekas eksekutif (Pembinaan) Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) dipenjara sehari dan denda RM123,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan membabitkan wang lebih RM21,000 berhubung kerja penyelenggaraan.

Hakim Rozina Ayob menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Amal M Razalan, 36, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding sebutan kes hari ini.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Rozina berkata, mahkamah akan memberikan peluang kedua kerana tertuduh adalah seorang profesional dan berharap lelaki itu akan belajar daripada kesilapan yang dilakukan kali ini.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,360 atau penjara 30 hari sekiranya denda gagal dibayar manakala bagi pertuduhan kedua, penjara sehari dan denda RM112,640 atau penjara 60 hari jika denda gagal dibayar selain memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.

Sementara itu, 41 lagi pertuduhan rasuah termasuk enam pengubahan wang haram yang dihadapi Mohd Amal sebelum ini dipertimbangkan sebagai 'take into consideration' (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Mohd Amal sebagai Eksekutif (Pembinaan) Petronas Carigali Sdn Bhd didakwa secara rasuah menerima suapan berjumlah RM21,247.04 daripada pengarah syarikat Majestika Sdn Bhd, Mustaza Zawawi, melalui cek Maybank Berhad milik syarikat itu (Majestika) dan melalui akaun Maybank Berhad milik MAMN Goldenvision Enterprise.

Perbuatan itu adalah hasil daripada persuhabatan bersama Pengarah MAMN Goldenvision Enterprise sebagai upah membantu Faltech Engineering Sdn Bhd mendapatkan kerja-kerja perkhidmatan penyelenggaraan awam dan struktur untuk PCSB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Berhad cawangan KLCC, Jalan Ampang, di sini antara 21 Februari dan 6 Mac 2018 mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadhly Mohd Zamry memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran bukan sahaja terhadap tertuduh tetapi juga masyarakat umum di masa akan datang, bagaimanapun, peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya insaf selain penanggung utama keluarga.

Pada 8 November lalu, Mohd Amal didenda RM177,000 dan dipenjara sehari oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan RM35,217.50 sebagai upah membantu sebuah syarikat lain bagi mendapatkan kerja penyelenggaraan struktur untuk PCSB.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 1:55 PM