WAN Nazmi mengira lebihan makanan yang tidak habis dijual di kedai makan pagi miliknya di Kampung Losong. FOTO Zaid Salim
WAN Nazmi mengira lebihan makanan yang tidak habis dijual di kedai makan pagi miliknya di Kampung Losong. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Kuala Terengganu: "Sebenarnya kalau jual (makanan dan minuman) murah masih ada untung, cuma bezanya banyak atau sedikit.

"Saya jual teh 'o' dengan harga 50 sen sahaja dan masih boleh bertahan, ia terpulang kepada peniaga itu sendiri," kata Wan Nazmi Wan Besar, 52.

Wan Nazmi memberi reaksi itu ketika ditanya mengenai isu kenaikan harga makanan dan minuman yang membebankan pengguna sejak akhir-akhir ini.

Dia yang mengusahakan kedai makan pagi sejak 1991 di Kampung Losong, di sini, berkata, selain menjual teh 'o' dengan harga murah, minuman lain seperti teh dijual pada harga RM1, manakala kopi, milo dan nescafe samada 'o' atau susu dijual pada harga sama iaitu RM1.50.

Katanya, minuman berpaket seperti horlick dijual pada harga RM2, manakala dua biji telur ayam kampung separuh masak dijual pada harga RM2.

"Walaupun jual dengan harga murah, saya mampu bertahan sehingga kini kerana pelanggan ramai yang dapat memberi keuntungan walaupun secawan minuman hanya untung 10 hingga 20 sen sahaja.

"Selain itu, saya juga dapat meraih pendapatan melalui komisyen jualan makanan pagi yang dihantar penduduk sekitar," katanya.

Wan Nazmi berkata, dia tidak mahu membebankan pelanggan dengan menaikkan harga minuman dan akan mengekalkan konsep berniaga seperti itu.

"Sebelum ini saya jual teh 'o' 30 sen sahaja dan menaikkan harga kepada 50 sen sejak akhir tahun lalu," katanya.

Berkaitan kos sara hidup bagi menampung kehidupan hariannya, Wan Nazmi tidak menafikan perbelanjaan meningkat sehingga lebih 50 peratus.

"Kira kasar perbelanjaan harian keluarga saya sekarang termasuk sekolah anak sekitar RM100 sehari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 3:53 PM