AL-SULTAN Abdullah berkenan melihat replika rumah yang akan dibina pada perasmian SASaR di Kem Wardieburn. FOTO Bernama
AL-SULTAN Abdullah berkenan melihat replika rumah yang akan dibina pada perasmian SASaR di Kem Wardieburn. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan projek perumahan di bawah program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Kem Wardieburn dan Kem Genting Klang, Setapak di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Kem Wardieburn, di sini pada 10.30 pagi disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Selain itu, turut hadir Panglima Tentera Darat Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan melawat tapak galeri dan menurunkan tandatangan di atas plak pada majlis perasmian itu.

Projek pembinaan perumahan SASaR ATM Wardieburn dan Setapak itu merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan bagi memberi peluang kepada anggota ATM, veteran ATM dan warga kerja awam di Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk memiliki kediaman yang selesa di Kuala Lumpur.

Mindef dalam kenyataan memaklumkan perumahan SASaR ATM Wardieburn akan melibatkan pembinaan 974 unit kediaman berkeluasan 1,400 dan 1,500 kaki persegi.

Selain itu, projek perumahan SASaR ATM Setapak akan melibatkan pembinaan secara berfasa 6,400 unit kediaman dengan keluasan di antara 1,000 kaki persegi dan 1,200 kaki persegi.

Mindef memaklumkan projek perumahan itu adalah inisiatif kementerian berkenaan bagi menyediakan kediaman yang kondusif dan selesa selaras dengan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara, Konsep Malaysia MADANI, Kertas Putih Pertahanan serta Pelan Strategik Kementerian Pertahanan 2021-2025.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 2:37 PM