JALAN Sungai Tiram- Ulu Tebrau ditutup akibat kejadian tanah runtuh. FOTO ihsan JKR
JALAN Sungai Tiram- Ulu Tebrau ditutup akibat kejadian tanah runtuh. FOTO ihsan JKR
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Jalan Sungai Tiram - Ulu Tebrau yang menghubungkan Seelong dan Felda Ulu Tebrau menghala ke Kota Tinggi, ditutup sementara waktu kepada semua kenderaan.

Laman sosial Jabatan Kerja Raya (JKR) Kulai memaklumkan notis penutupan jalan itu dibuat berikutan kejadian tanah runtuh di bahu jalan terbabit akibat hujan lebat.

Ia turut memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) hadir awal untuk melaksanakan pemantauan dan penyediaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) sementara.

"Hasil pemeriksaan pihak JKR, pergerakan tanah masih berlaku dan jalan berkenaan akan ditutup bermula dari persimpangan Jalan Kulai-Kota Tinggi (ke Felda Ulu Tebrau) sehingga ke Pusat Pelupusan Sampah (SWM), sementara pemeriksaan terperinci dilaksanakan.

"Papan tanda lencongan sudah dipasang sebagai hebahan dan pemasangan kanvas dilaksanakan bagi mengurangkan berlaku hakisan yang lebih besar di lokasi kejadian. Tempoh penutupan jalan akan ditentukan selepas pemeriksaan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 9:54 AM