Omar Ahmad


Johor Bahru : Kerajaan negeri meminta pengguna jalan raya bersabar dan tidak mengalihkan halangan keselamatan yang diletakkan di Jalan Negeri Sungai Tiram - Ulu Tebrau (J08) yang ditutup sejak bulan lalu.

Ia ekoran tebing dan sebahagian jalan di kawasan itu runtuh, akibat hujan lebat berterusan melanda Johor hujung bulan lepas sehingga menyebabkan beberapa daerah dilanda banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata anggaran kos pembaikan jalan berkenaan berjumlah RM2.1 juta.

"Ia meliputi kerja membina sistem penahan cerun, sistem perparitan dan culvert, jalan dan lain-lain kerja berkaitan. Namun kos sebenar akan ditentukan pakar di Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya.

"Kami memerlukan kepakaran bagi kerja cerun melebihi enam meter.

"Saya memohon pengguna dapat bersabar kerana kawasan tersebut amat tidak selamat untuk dilalui. Keselamatan adalah tanggungjawab kita semua, "katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, jalan alternatif menuju Felda telah selesai, dengan menggunakan tanah ladang individu.

"'Miling waste' disediakan untuk buat laluan. Jurutera Daerah Kulai sudah berikan kebenaran tanpa lalu kawasan risiko.

"Utamakan keselamatan semua pengguna, jangan pentingkan diri sendiri. Patuhi undang-undang dan faham situasi sebenar di setiap tapak, "katanya.

Sebelum ini tular di media sosial tindakan segelintir pengguna jalan raya yang sengaja mengalihkan halangan keselamatan yang dipasang, agar boleh melalui jalan terbabit tanpa mengambil kira soal keselamatan.

Pada 24 Januari lalu, Jalan Sungai Tiram - Ulu Tebrau (J08) yang menghubungkan Seelong dan Felda Ulu Tebrau menghala ke Kota Tinggi ditutup sementara kepada semua kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 12:48 PM
Halangan keselamatan konkrit yang dipasang di Jalan Sungai Tiram- Ulu Tebrau yang ditutup, telah dialihkan pengguna jalan raya tidak bertanggungjawab. FOTO IHSAN PEMBACA
Halangan keselamatan konkrit yang dipasang di Jalan Sungai Tiram- Ulu Tebrau yang ditutup, telah dialihkan pengguna jalan raya tidak bertanggungjawab. FOTO IHSAN PEMBACA