SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar. FOTO Ihsan RPO.
SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar. FOTO Ihsan RPO.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Isu-isu yang dikhuatiri boleh mengancam keharmonian dan perpaduan Bangsa Johor seharusnya ditangani dengan cekap oleh pihak berkuasa, titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Merujuk dakwaan tular berkaitan bengkel peperiksaan dianjurkan khusus bagi pelajar Islam oleh sebuah sekolah menengah di Johor Bahru, baginda bertitah, tindakan pantas dan tepat oleh pihak berkuasa membantu mencegah kekeliruan dan penularan sentimen berbaur kebencian.

"Saya tidak mahu Bangsa Johor keliru dan mula berburuk sangka antara satu sama lain.

"Saya cukup menitikberatkan betapa pentingnya persefahaman, perpaduan dan toleransi antara kaum kita yang pelbagai.

"Jabatan Pendidikan seharusnya bertindak pantas untuk menangani situasi sebegini agar tidak menular emosi negatif serta perkara tidak sahih dalam kalangan rakyat.

"Ia juga pengajaran kepada semua pihak yang perlu menangani rasa tidak puas hati mereka," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO), hari ini.

Baginda bertitah, tiada individu yang patut disisihkan daripada suatu program awam kerana agama atau bangsanya.

"Jika benar ada yang diasingkan kerana itu, maka tindakan perlu diambil kepada penganjur.

"Begitu juga jika didapati ada tuduhan adalah tidak benar dan dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab," titah Baginda.

Sebelum ini, tular di Twitter berkenaan suatu tangkap layar dalam kumpulan WhatsApp antara ibu bapa dan kakitangan sekolah itu berkaitan rasa tidak puas hati segelintir ibu bapa selepas sekolah itu didakwa mengadakan bengkel SPM secara eksklusif untuk pelajar Islam yang berprestasi rendah dalam akademik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 9:48 PM