SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) menyempurnakan gimik perasmian sempena Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Perak 2016 di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah di sini. Mengirigi Baginda ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Dr Muhammad Amin Zakaria. FOTO Supian Ahmad
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) menyempurnakan gimik perasmian sempena Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Perak 2016 di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah di sini. Mengirigi Baginda ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Dr Muhammad Amin Zakaria. FOTO Supian Ahmad
Muhammad Apendy Issahak


Taiping: Negara akan melahirkan warga bersifat robot yang berfungsi secara mekanikal jika komponen membina kekuatan rohaniah tidak disemai sejak mereka berada di bangku sekolah titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, kekuatan dalaman adalah benteng utama untuk mencegah manusia daripada mudah dipengaruhi nafsu; kekuatan rohaniah akan melindungi manusia daripada bersifat tamak – bersifat haloba.

"Tema sambutan ‘Guru; Pembina Negara Bangsa’ amatlah bertepatan, menggambarkan peranan para guru yang membekalkan kompas agar para pelajar berupaya menakhoda destinasi hidup; dan para guru juga adalah arkitek masyarakat dan jurutera sosial membantu usaha membina masa hadapan sebuah negara bangsa yang berjaya lagi gemilang.

"Para guru adalah pusat kepada pendidikan atau 'the centre of education', bertanggungjawab mencanai minda pelajar," titahnya sempena Majlis Perasmian Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Perak 2016 di Sekolah Menengah (SM) Sains Raja Tun Azlan Shah, di sini, hari ini.

Turut berkenan hadir mencemar duli Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Sultan Nazrin bertitah, guru juga diamanahkan dengan tanggungjawab mendidik dan menyemaikan nilai dalam diri anak-anak yang berada dalam usia formatif.

"Tidak semua pelajar akan berakhir sebagai Presiden atau Perdana Menteri di sebuah negara, atau menjadi seorang Ketua Hakim di Mahkamah atau Naib Canselor di universiti atau Ketua Eksekutif di syarikat ternama, namun setiap pelajar boleh dicanai untuk menjadi aset berharga dan warga patriotik kepada negara bangsanya.

"Sekolah adalah tapak untuk benih ilmu dan benih pengetahuan dapat disemai. Namun pencapaian jangan terlalu dipengaruhi dengan ukuran yang terlalu mirip kepada kuantiti, terlalu taksub dengan markah peperiksaan," titahnya.

Titah baginda, lebih penting daripada itu, sekolah juga ialah tapak untuk menyemaikan nilai murni, malah peranan melahirkan insan berjiwa murni, lebih penting diutamakan daripada sekadar melahirkan insan berkelulusan akademik yang cemerlang.

Titahnya, kegemilangan sesebuah negara amat dipengaruhi oleh sifat dan watak para warganya. Semakin tinggi kelulusan pendidikan yang dicapai oleh seseorang insan, semakin besar tanggungjawab yang diserahkan, menjadikan semakin perlu untuk insan tersebut disauhkan sifatnya dengan nilai murni.

"Sedarilah! Di belakang kejayaan setiap seorang daripada kita, ada guru yang telah berjasa besar dalam hidup kita; mereka tanpa jemu - tanpa bosan; tanpa mengenal lelah – tanpa mengenal letih, dengan sabar, tekun, jujur dan ikhlas, memberikan kita bimbingan, dorongan, asuhan dan panduan.

"Bersempena sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Perak, bagi pihak seluruh rakyat negeri ini, Beta menzahirkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada seluruh warga guru di atas jasa bakti anda semua kepada kami dan kepada anak cucu kami," titahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 3:27 PM