ANTARA barangan yang dirampas. FOTO ihsan Polis
ANTARA barangan yang dirampas. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 88 individu termasuk 15 warga asing ditahan bersama rampasan pelbagai barangan seludup berjumlah lebih RM64 juta dalam 35 serbuan di seluruh negara, 1 hingga 20 Januari lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, serbuan itu dilakukan menerusi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) iaitu Biro Jenayah Hidupan Liar (Wildlife Crime Bureau) Perisikan Siasatan Khas (PSK).

"Dalam serbuan itu, kami menahan 73 individu tempatan dan 15 warga asing dengan jumlah rampasan keseluruhan bernilai lebih RM64 juta.

"Operasi itu dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kastam 1967 dengan jumlah rampasan bernilai lebih RM4.2 juta, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (RM1.2 juta), Akta Bahan Letupan 1957 (RM7.7 juta), Akta Kawalan Bekalan 1961 (RM10 juta), Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 (RM2.2 juta) dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan (RM5,200)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PDRM menerusi JKDNKA akan terus memacu langkah ke hadapan dengan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan yang lain dalam memerangi jenayah kontraban serta pelbagai kesalahan lain.

"Kerjasama daripada orang ramai amat digalakkan bagi menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 12:18 PM