ANTARA serbuan dan rampasan yang dilakukan dalam tenpoh 5 hari FOTO IHSAN JKDNKA
ANTARA serbuan dan rampasan yang dilakukan dalam tenpoh 5 hari FOTO IHSAN JKDNKA
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Hanya dalam tempoh lima hari memasuki tahun baharu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman menumpaskan pelbagai sindiket penyeludupan membabitkan rampasan bernilai lebih RM21.9 juta.

Pengarahnya, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, seramai 15 individu turut ditahan dalam sembilan serbuan di seluruh negara bermula 1 Januari sehingga hari ini.

Menurutnya, operasi membabitkan penguatkuasaan terhadap penyeludupan hidupan liar, ubat-ubatan palsu dan penyelewengan diesel bersubsidi dijalankan oleh Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).

"Pasukan merampas pelbagai barangan bernilai RM116,000 mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 manakala mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 pula membabitkan rampasan berjumlah RM6,601,449.

"Kesalahan lain direkodkan adalah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dengan nilai rampasan RM13,200,000; Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) membabitkan rampasan RM1,500,000 manakala Peraturan 7(1)a Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 dengan jumlah rampasan RM500,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazani berkata, pihaknya komited dalam melaksanakan visi dan misi pasukan serta akan terus melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain.

Katanya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memerangi kegiatan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 7:29 PM