Pasangan Kembar Nurwahida Roslim (kiri), 18, dan Nursuhada Roslim (kanan), 18, mengulangkaji pelajaran dengan menggunakan telefon pintar bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 sambil diperhatikan oleh ibunya Raha Limat (tengah), 48, di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Muafakat Kg Cahaya Baru ketika tinjauan hari ini. FOTO BERNAMA
Pasangan Kembar Nurwahida Roslim (kiri), 18, dan Nursuhada Roslim (kanan), 18, mengulangkaji pelajaran dengan menggunakan telefon pintar bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 sambil diperhatikan oleh ibunya Raha Limat (tengah), 48, di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Muafakat Kg Cahaya Baru ketika tinjauan hari ini. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Mangsa banjir Johor meningkat semula kepada 1,153 orang daripada 301 keluarga, di empat daerah terjejas yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 malam ini.

Ia berbanding hanya 1,146 orang daripada 299 keluarga, di empat daerah terjejas yang ditempatkan di 11 pusat PPS, jam 6 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri (JPBN) Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata Kota Tinggi kekal menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa banjir teramai.

Jumlah mangsa banjir Kota Tinggi kekal seramai 761 orang daripada 191 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS di daerah itu.

"Mangsa banjir di Johor Bahru juga kekal dengan 43 penduduk daripada 12 keluarga di sebuah PPS susulan penutupan dua PPS iaitu Dewan Muafakat Kampung Cahaya dan Dewan Kampung Sungai Tiram.

"Mersing turut kekal dengan seramai 265 mangsa terjejas daripada 70 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan dan SK Tenglu.

"Bagaimanapun mangsa banjir di Kluang meningkat kepada 84 mangsa daripada 28 keluarga yang ditempatkan di Dewan MPK Kahang," katanya dalam kenyataan hari ini.

MetMalaysia hari ini mengekalkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di beberapa kawasan di Johor hingga Ahad ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk itu membabitkan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang diramal berlaku sehingga Ahad membabitkan Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Johor (Batu Pahat dan Pontian).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 10:52 PM