Azmi Rohani
Azmi Rohani
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sungai Kahang, di Kampung Contoh, Kluang, meningkat melebihi paras bahaya apabila ia merekodkan paras 14.80 meter (m), berbanding paras bahaya 14.50 m, pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri (JPBN) Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, dua sungai di Mersing pula merekodkan paras amaran, manakala tujuh lagi sungai di Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai, Batu Pahat dan Segamat, pula meningkat ke paras waspada.

Katanya, peningkatan paras sungai di negeri ini susulan hujan lebat berterusan yang melanda Johor, sejak kelmarin.

Beliau berkata, dua sungai di Mersing iaitu Sungai Tenglu Kecil meningkat ke paras amaran 1.92 m menghampiri paras bahaya 2.0 m, manakala Sungai Paya Dato' pula merekodkan paras amaran 1.75 m.

"Sungai Endau di Mersing juga turut meningkat ke paras waspada iaitu 1.84 m. Dua sungai di Kota Tinggi iaitu Sungai Ayer Hitam dan Sungai Sedili Kecil turut meningkat ke paras waspada masing-masing kepada 3.48 m dan 2.03 m.

"Sungai Tiram di Johor Bahru juga naik ke paras amaran apabila merekodkan paras 2.29 m, begitu juga Sungai Siku di Kulai, turut merekodkan paras amaran naik ke 17.52 m.

"Di Batu Pahat, Sungai Lenik di Ladang Chaah, turut naik ke paras amaran 5.08 m, begitu juga Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat turut naik ke paras amaran iaitu 8.10 m," katanya dalam kenyataan, hari ini.

MetMalaysia, hari ini, mengekalkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di beberapa kawasan di Johor hingga Ahad ini.

Ia juga memaklumkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk itu membabitkan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang diramal berlaku sehingga Ahad membabitkan Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta Johor (Batu Pahat dan Pontian).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 10:06 AM