PEMANDANGAN di sekitar kawasan Kampung Baru berhampiran Menara Berkembar Petronas. FOTO Arkib NSTP.
PEMANDANGAN di sekitar kawasan Kampung Baru berhampiran Menara Berkembar Petronas. FOTO Arkib NSTP.
Latifah Arifin

Kuala Lumpur: Majoriti penduduk Kampung Sungai Baru mendesak supaya projek pembangunan semula kawasan itu tidak ditangguhkan lagi dengan tindakan segera diambil berhubung tuntutan berkenaan.

Wakil pemilik hartanah Kampung Sungai Baru, Mohd Adam Abdul Aziz, berkata kebanyakan penduduk kecewa susulan penangguhan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Dalam satu surat yang dihantar kepada Anwar, Mohd Adam, berkata pembangunan semula kawasan itu perlu disegerakan mengambil kira keadaan kediaman mereka yang daif, usang dan tidak selamat diduduki.

"Kami kumpulan majoriti (penduduk) merasakan hak dan suara kami dinafikan oleh kerajaan apbila tiada pun sebarang usaha untuk mendengar rintihan. Kenyataan oleh Pejabat Perdana Menteri baru-baru ini amat mengecewakan dan memberi kesan emosi yang teruk kepada kami yang sudah lama menanti pembangunan semula dapat dilaksanakan.

"Kami amat berharap projek pembangunan ini dapat mengubah kehidupan (penduduk di sini) kelak dan dapat meninggalkan kediaman selesa dan bernilai untuk anak cucu," katanya dalam surat berkenaan.

Katanya, sejak 2016, majoriti pemilik sudah menandatangani perjanjian usahasama dengan pemaju dan bersetuju bagi projek pembangunan semula demi masa depan generasi akan datang.

"Bagaimanapun, selepas lima tahun, proses perbincangan dengan pemilik masih terdapat minoriti pemilik tidak bersetuju dengan projek pembangunan semula ini, yang mana akhirnya pemaju telah membuat permohonan semula untuk menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi memastikan ia (projek) dapat diteruskan ," katanya.

Dalam surat sama, Mohd Adam turut menyuarakan kekesalan malah menyifatkan media massa banyak memihak kepada kumpulan minoriti yang membantah pembangunan di kawasan itu.

Beliau turut menyuarakan hasrat untuk mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan Perdana Menteri bagi merungkai dan menerangkan secara lebih terperinci mengenai isu berkenaan.

Perdana Menteri sebelum ini dalam satu kenyataan mengarahkan projek pembangunan di kampung itu ditangguhkan sebulan atau sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan semula.

Jelasnya, ia bagi membolehkan rundingan semula dengan penduduk dan pihak berkepentingan dilaksanakan sekali gus mencari penyelesaian kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak tahun 2016.

Penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 5:47 PM