Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Isu pembangunan Kampung Sungai Baru, di sini, yang berlanjutan sejak lebih lima tahun lalu semakin kronik dan perlu diselesaikan segera, kata Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Bekas Menteri Kewangan II itu berkata, perkara berkenaan akan dibawa ke sidang Parlimen akan datang sebagai usaha membantu menyelesaikan masalah penduduk yang terbabit.

Menurutnya, pembangunan di kawasan berkenaan tergendala berikutan terdapat lima peratus pemilik pangsapuri belum berpindah, manakala 95 peratus sudah berpindah dan menunggu rumah baharu daripada pemaju.

"Pemaju yang memindahkan mereka ini sudah datang berjumpa saya dan merayu untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Mereka tidak berdaya lagi membayar sewa rumah penduduk yang berpindah sejak lima tahun lalu, sedangkan mereka tidak dapat memulakan kerja (pembangunan).

"Saya menyarankan masalah lima peratus iaitu membabitkan isu pampasan boleh diselesaikan di mahkamah, tapi sebahagian besar sudah pindah ini mahukan rumah mereka," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dataran Kampung Baru di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, beliau akan berjumpa pihak terbabit termasuk pemaju, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL).

Beliau turut meminta kerajaan untuk campur tangan dan menyelesaikan segera projek pembangunan di kawasan berkenaan.

Pada Februari lalu, penduduk Kampung Sungai Baru menyerahkan memorandum supaya kerajaan membatalkan penangguhan projek pembangunan kawasan itu seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Majoriti penduduk mahu pembangunan semula kawasan itu yang tertangguh sejak enam tahun lalu diteruskan.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.

Sesetengah penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan PTGWPKL.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 2:17 PM