RAKAMAN yang tular di TikTok. FOTO tular
RAKAMAN yang tular di TikTok. FOTO tular
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Akibat takut disaman kerana tiada lesen memandu menyebabkan seorang lelaki bertindak melarikan diri dari sekumpulan anggota polis di kawasan sawah padi seperti yang tular di TikTok, hari ini.

Video berdurasi 1 minit 6 saat itu dikesan polis pada jam 10 pagi yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya sudah meneliti video berkenaan dan mendapati kejadian berlaku semalam sekitar jam 4 petang sewaktu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sedang melakukan sekatan jalan raya di Alor Mengkudu.

Beliau berkata, sewaktu sedang menjalankan penugasan, anggota mengarahkan sebuah kereta berhenti bagi tujuan pemeriksaan.

"Namun secara tiba-tiba pemandu terus keluar dari kenderaan dan melarikan diri memasuki kawasan sawah padi.

"Curiga dengan tindakan lelaki terbabit, anggota kemudiannya bertindak mengejar lelaki itu dan berjaya membuat tangkapan di dalam kawasan sawah padi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, hasil pemeriksaan pada tubuh badan dan kenderaan yang dinaiki lelaki itu tidak menemui sebarang barang salah.

Beliau berkata, semakan juga mendapati kenderaan yang dinaikinya tiada rekod hilang dan lelaki itu itu juga tiada sebarang rekod jenayah lampau.

"Hasil temubual juga mendapati lelaki itu mengaku melarikan diri hanya kerana tiada lesen memandu dan takut dikenakan tindakan saman memandangkan dia tidak bekerja.

"Namun selepas berpuas hati dengan penjelasan lelaki berkenaan dan atas budi bicara, lelaki itu dibenarkan pulang dengan hanya diberi amaran supaya tidak mengulangi tindakan sama," katanya.

Ahmad Shukri berkata, satu laporan polis sudah dibuat berkaitan kejadian ini.

Sehubungan itu katanya, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu-lintas dan anggota bertugas sekiranya melalui sekatan jalan raya.

Bagaimanapun, video berkenaan dipercayai sudah dipadam oleh pemilik akaun berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 5:51 PM