Tengku Permaisuri Norashikin kesal berhubung insiden anggota MPSJ cuba menangkap anjing terbiar secara ganas baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP
Tengku Permaisuri Norashikin kesal berhubung insiden anggota MPSJ cuba menangkap anjing terbiar secara ganas baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

TENGKU Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa kesal berhubung insiden anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang cuba menangkap seekor anjing terbiar secara ganas yang tular menerusi klip video dalam media sosial baru-baru ini.

Tengku Permaisuri Selangor yang juga Penaung Diraja kempen Stray Free Selangor (SFS) turut kecewa dan sedih kerana kejadian kejam itu masih berlaku dalam masyarakat meskipun banyak kempen kesedaran sudah dilaksanakan membabitkan haiwan terbiar.

“Saya amat kesal apabila diperlihatkan dengan satu klip video yang menunjukkan beberapa anggota MPSJ cuba menangkap seekor anjing terbiar secara ganas.

“Di sini saya ingin menggesa agar pihak berwajib lebih peka dan berperikemanusiaan dalam menguruskan kes membabitkan haiwan terbiar di jalanan,” titah Baginda menerusi satu kenyataan dalam akaun Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Baginda turut difahamkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam serta Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han sudah memohon maaf di atas tindakan kasar anggota MPSJ terbabit.

Dalam pada itu, Baginda berharap prosedur penangkapan haiwan jalanan yang ditetapkan seharusnya dipatuhi untuk memastikan kesejahteraan haiwan dan keselamatan kakitangan pihak berkuasa tempatan yang terbabit.

“Saya juga ingin menegaskan betapa pentingnya prosedur ini dijalankan sebaik mungkin tanpa menyakiti atau mencederakan haiwan terbabit.

“Prosedur ini juga perlu diperkemas dan dilaksanakan sesuai dengan situasi tertentu.

“Buat kesekian kalinya saya mohon agar semua pihak, tidak kiralah kakitangan pihak berkuasa atau masyarakat secara amnya, supaya menyemai sifat belas kasihan terhadap haiwan terbiar yang memerlukan bantuan,” titah Baginda.

Tengku Permaisuri Selangor bertitah semua pihak perlu mematuhi Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang mana memperuntukkan denda RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun boleh dikenakan ke atas sesiapa yang melakukan kekejaman terhadap haiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 10:03 PM