WANITA maut akibat dirempuh treler ketika berhenti di bahu jalan. FOTO ihsan Bomba
WANITA maut akibat dirempuh treler ketika berhenti di bahu jalan. FOTO ihsan Bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Polis menahan pemandu lori kontena kerana dipercayai cuai sehingga merempuh sebuah kereta rosak di bahu jalan di Kilometer 235.6 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara di sini, hari ini yang turut menyebabkan seorang wanita maut.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, B Karthigayayini, 37, dari Gelugor, Pulau Pinang yang juga pekerja bank maut di lokasi kejadian selepas tercampak akibat rempuhan itu manakala seorang lelaki berumur 29 tahun yang memandu Honda Civic dinaiki mangsa mengalami cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pemandu lori kontena berusia 53 tahun menetap di Butterworth, Pulau Pinang itu ditahan bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, siasatan awal mendapati Honda Civic terbabit yang dinaiki tiga individu termasuk mangsa, mengalami kerosakan dan berhenti di bahu kiri lebuh raya.

Katanya, pemandu kereta dan mangsa yang maut kemudiannya keluar untuk memeriksa kenderaan yang rosak itu sebelum dirempuh lori kontena berkenaan dari belakang.

"Pemandu lori tidak perasaan kedudukan Honda Civic itu lalu melanggar sisi kanannya di samping turut melanggar mangsa maut yang sedang berdiri di sisi kanan kereta terbabit.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan. Manakala, lori kontena yang merempuh mangsa kemudiannya terbabas ke kiri jalan melanggar besi penghadang di bahu kiri jalan sebelum terbalik secara mengiring di bahu kiri jalan," katanya ketika dihubungi.

Katanya, pemandu lori kontena bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang dari Johor Bahru serta Kuala Lumpur atas tuntutan tugas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 2:01 PM