KELUARGA mangsa berada di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk proses pengecaman mayat. Gambar kecil, keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO Farhan Najib
KELUARGA mangsa berada di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk proses pengecaman mayat. Gambar kecil, keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO Farhan Najib
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Kuala Kangsar: Mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 254.7 Lebuhraya PLUS arah utara, di sini dikenali sebagai Mohd Joeri Ramli, 34, manakala rakannya yang parah dikenali sebagai Mohd Nasbullah Mohd Abdul Ghaffar, 28, bukan wanita seperti laporan awal yang diterima.

Mangsa yang berasal dari Bagan Serai, dekat sini, dikatakan dalam perjalanan dari Ipoh ke Gerik bersama rakannya atas urusan kerja dimana kedua-duanya bekerja dengan syarikat rawatan air.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh berkata, rakan mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan, manakala pemandu dan kelindan lori tidak mengalami kecederaan.

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian membabitkan kereta jenis Honda Civic yang dipercayai dirempuh dari belakang treler membawa muatan besi.

"Kereta mangsa diseret hingga ke laluan kiri sebelum terbakar. Pemandu lori dan kelindan serta penumpang kereta berjaya keluar dari kenderaan menyelamatkan diri, manakala mangsa yang tersepit gagal berbuat demikian dan rentung terbakar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 3:09 PM