KERETA yang terjunam ke dalam sungai di Tanjung Kunyit, Sibu, Sabtu lalu berjaya dibawa keluar. FOTO Ihsan pembaca.
KERETA yang terjunam ke dalam sungai di Tanjung Kunyit, Sibu, Sabtu lalu berjaya dibawa keluar. FOTO Ihsan pembaca.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Dua mayat dengan satu daripadanya disahkan mangsa kereta terjunam ke dalam sungai di jeti feri Tanjung Kunyit, Sibu, Sabtu lalu, ditemui petang semalam dan pagi tadi.

Mayat lelaki yang ditemui terapung di Sungai Lebaan pada jam 6.10 petang semalam disahkan sebagai Philip Yiin Chung Leong, 61.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, identiti mangsa disahkan oleh anaknya yang membuat pengecaman, hari ini.

Beliau berkata, mayat seorang wanita kemudiannya ditemui terapung kira-kira jam 8 pagi hari ini juga di Sungai Lebaan, namun identitinya masih belum disahkan.

"Mayat pertama yang ditemukan semalam itu sudah dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

"Hari ini kami menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan satu lagi mayat terapung di Sungai Lebaan dan sepasukan anggota polis dan bomba sudah ke lokasi untuk mengambil mayat itu," katanya.

Sementara itu, kereta Toyota Camry yang dinaiki mangsa berjaya dinaikkan dari dasar sungai menggunakan kren hari ini.

Kedudukan kereta itu dikesan anggota penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di dasar sungai pada jam 3.49 petang semalam.

Bagaimanapun, usaha untuk menaikkan kereta terbabit gagal apabila kabel kren yang digunakan untuk menariknya terputus pada jam 6.20 petang semalam sekali gus memaksa operasi ditangguhkan berikutan keadaan gelap dan air pasang.

Kereta itu terjunam ke dalam sungai di jeti feri itu kira-kira jam 7 pagi Sabtu lalu dengan pemandunya, Brayant Magnus Ting Shang, 38, ditemukan selamat.

Seorang lelaki, Philip Yiin Chung Leong, 61 dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang belum dikenalpasti identiti, hilang dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 6:19 PM