ANGGOTA PPDA bersedia melakukan selaman untuk mengesan kereta kenderaan yang terjunam. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA PPDA bersedia melakukan selaman untuk mengesan kereta kenderaan yang terjunam. FOTO ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kedudukan kereta yang terjunam ke dalam Sungai Maaw di jeti feri Tanjung Kunyit, di Sibu semalam, dikenal pasti, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kedudukan kereta itu di dasar sungai ditemui anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan selaman kelima hari ini pada 3.49 petang.

Menurutnya, pada 4.35 petang PGO menerima maklumat daripada komander operasi yang memaklumkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sedang menunggu kren untuk menaikkan kenderaan terbabit ke permukaan.

"Air sungai pasang serta arus deras menyukarkan Unit PPDA untuk melakukan selaman apabila operasi hari kedua dimulakan pada 7 pagi hari ini dan selaman pertama hanya dapat dilakukan pada 4.42 petang selepas air sungai mulai surut.

"Berikutan itu pencarian di permukaan sehingga radius dua kilometer dijalankan sebelum selaman pertama dapat dijalankan yang akhirnya berjaya mengesan kedudukan kenderaan itu petang ini," katanya.

Menurutnya, pencarian di permukaan turut disertai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta ahli keluarga mangsa.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi semalam, seorang lelaki selamat manakala dua lagi hilang bersama kenderaan yang terjunam di jeti feri Tanjung Kunyit.

Mangsa yang selamat ialah Brayant Magnus Ting Shang, 38, manakala seorang lelaki Philip Yiin, 61, dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang belum dikenal pasti identiti, masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 5:21 PM