Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah. FOTO BERNAMA
Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mesyuarat Kabinet esok dijangka memperincikan langkah-langkah berhubung isu ibu warganegara Malaysia yang anak mereka dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan dengan rakyat asing tidak mendapat kerakyatan kerana tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, dalam isu ini kerajaan bersedia untuk melihat secara terperinci daripada segi dasar untuk membantu menyelesaikan masalah dengan cara yang sebaik-baiknya.

"Kabinet telah memutuskan supaya mesyuarat esok mengundang Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk memberikan nasihat tentang cara bagaimana kita harus selesaikan.

"Ia (isu itu) mendapat sambutan yang sangat positif daripada rakan-rakan Kabinet. Perkara ini adalah isu yang sangat serius. Ia adalah isu diskriminasi dan hak asasi manusia," katanya kepada pemberita selepas menerima petisyen dan surat terbuka kepada Kabinet dari Family Frontiers Malaysia di luar Parlimen hari ini.

Beliau berkata, perkara itu dibawa dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Saifuddin berkata, semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika menggulung perbahasan kementeriannya di Dewan Rakyat menyebut dengan jelas bahawa kerajaan akan merujuk perkara ini kepada Majlis Raja-Raja dengan hasrat melaksanakan pindaan Perlembagaan.

"Ini kerana di bawah Perlembagaan, hal ehwal kerakyatan itu membabitkan perkenan daripada Majlis Raja-Raja," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan Kabinet menasihati Peguam Negara untuk menarik balik rayuan itu esok, Saifuddin berkata Peguam Negara adalah penasihat kepada kerajaan dan mereka akan membincangkan aspek teknikal esok.

Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan negara ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir memutuskan perkataan 'bapa' dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu.

Bagaimanapun pada 13 September lalu, kerajaan memutuskan untuk mengemukakan rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Family Frontiers adalah pertubuhan bukan kerajaan yang membela ibu-ibu yang terkesan dengan undang-undang kewarganegaraan berkenaan menerusi kempen #TarikBalikRayuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 3:34 PM