GAMBAR seorang jurulatih yang menampar pemain yang tular di media sosial. FOTO tular.
GAMBAR seorang jurulatih yang menampar pemain yang tular di media sosial. FOTO tular.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi terhadap tindakan individu dipercayai jurulatih yang menampar pemain bola tampar perempuan dalam video tular di media sosial, baru-baru ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan perkara itu.

"Laporan penuh menyusul dan KPM mohon saksi untuk tampil beri keterangan.

"Tekad mewujudkan sekolah selamat untuk semua murid akan sentiasa menjadi keutamaan," katanya menerusi ciapan di Twitter, semalam.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan beliau sudah berbincang dengan Fadhlina mengenai perkara itu.

"Ini (kejadian tampar) adalah salah. Kami (bersama Fadhlina) sedang mendapatkan lebih maklumat mengenai perkara ini," katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan satu video memaparkan individu dipercayai jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemain tular di media sosial, baru-baru ini.

Kejadian itu dipercayai berlaku ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja bawah 14 tahun (B-14) 2022 bagi kategori perempuan pada 16 Disember lalu.

Difahamkan perlawanan penentuan tempat ketiga itu membabitkan pasukan Melaka menentang Johor di sebuah sekolah di Johor.

Berdasarkan video yang disiarkan secara langsung di Facebook itu, individu dipercayai jurulatih pasukan Melaka dilihat menampar dua pemain yang menyebabkan kehilangan mata sebelum tempoh rehat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 12:07 AM