Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Pejabat Perikanan Pulau Pinang melalui Pangkalan Perlindungan Sumber Batu Maung dekat sini menahan dan menyita empat vesel pukat tunda tempatan dengan anggaran nilai rampasan RM2.8 juta, termasuk hasil tangkapan 2.9 tan metrik ikan.

Semua vesel bersama tujuh kru warga asing tanpa permit berusia 26 hingga 50 tahun itu ditahan kelmarin dan semalam kerana beroperasi kurang 15 batu nautika dari pantai.

Pengarah Perikanan negeri, Yazeereen A Bakar, berkata kesemua vesel Zon C terbabit dimiliki pengusaha tempatan dengan dua daripadanya berpangkalan di Kuala Kedah ditahan pada kedudukan 9.1 dan 9.8 batu nautika Barat Muka Head, Teluk Bahang pada Rabu.

"Sebuah lagi vesel pukat tunda berpangkalan di Bagan Panchor, Perak ditahan pada kedudukan 10.8 batu nautika dari Gertak Sanggul di sini didapati menggunakan khidmat tiga kru warga Myanmar tanpa permit pagi semalam.

"Manakala vesel terakhir berpangkalan di Kuala Kurau, Perak bersama empat kru warga Thailand tanpa permit ditahan pada kedudukan 7.2 batu nautika dari Tanjung Piandang lewat petang semalam," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yazeereen berkata kesemua vesel terbabit dianggar bernilai RM2.8 juta manakala hasil tangkapan sebanyak 2.9 tan metrik telah dilelong di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung dan tidak disimpan lama bagi menjaga kualiti hasil laut berkenaan.

Menurutnya, seramai 20 anggota penguat kuasa Pejabat Perikanan negeri terbabit dalam operasi rondaan rutin di sekitar perairan Pulau Pinang mengambil tindakan segera sejurus melihat kegiatan pencerobohan itu.

YAZEEREEN (dua kiri) melihat salah sebuah vesel pukat tempatan yang disita ketika sidang media di Pelabuhan LKIM Batu Maung, Bayan Lepas. FOTO Danial Saad
YAZEEREEN (dua kiri) melihat salah sebuah vesel pukat tempatan yang disita ketika sidang media di Pelabuhan LKIM Batu Maung, Bayan Lepas. FOTO Danial Saad

Beliau berkata, kesemua vesel itu disita mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat dalam lesen dan boleh didenda tidak melebihi RM20,000.

Beliau menegaskan pihaknya memandang serius isu berhubung pencerobohan membabitkan vesel pukat tunda bagi menjamin sekuriti bekalan makanan hasil laut di negeri ini.

"Kami tidak bertolak ansur terhadap isu pelanggaran peraturan dan perundangan termasuk membabitkan pencerobohan perairan oleh vesel pukat tunda dengan sejumlah 80 tangkapan direkodkan tahun lalu.

"Selain kes pencerobohan tangkapan ini membabitkan pelbagai kesalahan termasuk aktiviti penggunaan bubu naga yang melanggar peraturan di bawah akta tersebut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 2:39 PM