Asrol Awang


Kuantan: Sejumlah RM53 juta jumlah kerugian membabitkan jenayah komersil direkodkan sepanjang tempoh Januari hingga Disember tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata penyumbang utama kes jenayah komersil adalah penipuan secara dalam talian yang mencatat 1,694 kes dengan jumlah kerugian RM34.7 juta.

Katanya, daripada jumlah itu, mangsa dari sektor pendidikan dan peniaga mencatat jumlah paling banyak, masing-masing 111 kes dan 196 kes.

"Mangsa kebanyakannya adalah wanita dan berumur antara 17 dan 40 tahun. Berdasarkan statistik tahun lalu, sejumlah RM53 juta kerugian dialami mangsa berbanding RM57.2 juta kerugian pada 2021.

"Namun, sebanyak 2,052 kertas siasatan dibuka tahun lalu berbanding 1,741 kertas siasatan pada 2021 iaitu meningkat 311 kertas siasatan yang dibuka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.

Bagi memastikan orang ramai menjadi mangsa penipuan, Ramli berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang sentiasa menjalankan program pencegahan secara berterusan.

Katanya, antara program itu ialah pameran, ceramah dan siaran media secara fizikal dan maya, pengedaran risalah, pertemuan dengan masyarakat di luar bandar seperti sembang santai.

"Selain itu, mewujudkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 yang boleh dihubungi dengan segera sekiranya terdapat transaksi yang mencurigakan dalam akaun.

"JSJK Pahang akan menyediakan klip video berdurasi pendek berkaitan kes jenayah komersil dan modus operandi yang terkini.

"Kita telah membuat hebahan media bagi setiap kes penipuan atas talian untuk menambahkan bilangan ahli masyarakat yang cakna terhadap kes penipuan ini," katanya.

Mengulas kes jenayah rogol, Ramli berkata, sebanyak 118 kes direkodkan lalu dan berdasarkan kajian, sebanyak 75 kes adalah berunsurkan paksaan dan 43 kes pula hubungan sukarela.

"Kajian juga menunjukkan 84 orang membabitkan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun manakala 21 orang pula berumur 17 tahun ke atas yang menjadi mangsa rogol.

"Ia adalah sesuatu yang agak membimbangkan dan kerjasama di peringkat ibu bapa serta sekolah adalah diperlukan dalam usaha membendung daripada berlakunya peningkatan kes ini pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 2:38 PM