Polis merampas 320 kilogram syabu bernilai RM11.5 juta menerusi ‘Op Lambkin’,  28 Disember lalu. FOTO Bernama
Polis merampas 320 kilogram syabu bernilai RM11.5 juta menerusi ‘Op Lambkin’, 28 Disember lalu. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Dadah diedarkan dalam bentuk cecair vape, minuman jus dan pelbagai cara lagi.

Meskipun menggunakan pelbagai taktik dan teknologi baharu dalam menghasilkan dadah, namun tindakan sindiket itu masih tidak dapat mengaburi mata pihak berkuasa yang berjaya mengekang aktiviti berkenaan daripada berleluasa.

Ini dibuktikan apabila seramai 163,740 individu termasuk ketua beberapa kumpulan sindiket diberkas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) membabitkan nilai rampasan dadah keseluruhan RM461 juta, sepanjang tahun lalu.

Bukan itu saja, JSJN turut melakar kejayaan tahun lalu apabila membongkar 15 makmal dadah dan menahan lima ahli kimia serta menumpaskan sindiket pemprosesan dadah jenis ketamin dalam bentuk cecair vape.

Berdasarkan kenyataan di Facebook JSJN, sebanyak 229 sindiket membabitkan 709 individu berjaya ditumpaskan termasuk seorang ketua sindiket terbesar di Sabah yang aktif dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ekstasi, minuman jus mengandungi dadah di pusat hiburan.

Daripada keseluruhan individu ditahan, 6,612 individu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) dan 1,261 individu lagi disiasat mengikut Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

JSJN juga berjaya merampas sebanyak 18.4 tan dadah, 3,437 liter cecair dadah, 106.4 tan daun ketum dan 52,886 liter air ketum.

Bagi mempergiat tindakan membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah, JSJN melancarkan Op Tapis Khas di seluruh negara bermula Januari sehingga Disember lalu yang mensasarkan sarang penagih, penempatan Felda, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), jeti nelayan, pangkalan haram serta lokasi aktif.

"Seramai 25,566 individu berusia 13 hingga 71 tahun ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah termasuk 4,046 tokan dan 1,444 orang dikehendaki.

"Sebanyak 2,032.87 kilogram (kg) dan 7,485.68 liter dadah dirampas dengan anggaran nilai rampasan RM19.2 juta. Jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 533,456 orang

"Hasil Op Tapis Khas itu juga, JSJN berjaya menumpaskan kumpulan Bani Tenang yang mempromosikan penggunaan ganja secara terbuka dengan menahan 20 ahli termasuk ketua kumpulan dan merampas 239.62 gram ganja," kata kenyataan itu.

Bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah, pelbagai aset sindiket bernilai RM124 juta disita manakala sebanyak RM24.61 juta nilai harta dilucut hak sepanjang tahun lalu.

Dalam pada itu, seramai 687 penjawat awam termasuk lima pegawai kanan sebuah agensi penguatkuasa di Pahang ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah mengikut Seksyen 3(1) ADB LLPK dan seramai 7,512 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang didakwa di mahkamah.

"JSJN terus komited mengekang aktiviti pengedaran dadah dengan menjalin kerjasama dengan agensi luar antaranya bersama ONCB/PNSB Thailand dalam Op Ogma II yang menumpaskan penyeludupan dadah ganja dan methamphetamine dari Kedah ke Lembah Klang serta kejayaan menumpaskan pengedaran dadah methamphetamine di sekitar Kuala Lumpur oleh sindiket dadah Thailand dalam Op Lambkin," katanya.

Sepanjang tahun lalu, JSJN menerima 110 aduan awam dan sebanyak 65 berjaya diselesaikan dengan peratusan 60 peratus.

Orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya dengan menghubungi Hotline JSJN di talian 012-2087222.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 2:52 PM