Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 1,049 penjawat awam ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi tempoh 3 Januari hingga kelmarin.

JSJN berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terbabit dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

"Buktinya, seramai 1,049 orang penjawat awam ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.

"Lima pegawai kanan dan empat anggota JSJN turut ditangkap serta disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 kerana terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Menurutnya, tiga pegawai kanan itu dikenakan perintah sekatan manakala dua lagi dibebaskan.

"Seorang daripada empat anggota itu pula dikenakan perintah sekatan selama dua tahun dan tiga lagi telah dibebaskan.

"Laporan penuh bagi pegawai kanan dan anggota yang dibebaskan dirujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurut JSJN, dalam tempoh sama, sebanyak 94,346 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah itu 87,700 kertas siasatan berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 92.96 peratus.

"Di samping itu juga, sebanyak 1,008 tan pelbagai jenis dadah, 352.44 liter cecair dadah serta 9,571 biji pil dadah mendapat arahan mahkamah untuk dilupuskan dengan anggaran nilai pelupusan barang kes itu adalah RM103.2 juta.

"JSJN menerima 127 aduan awam dan sebanyak 65 berjaya diselesaikan. Justeru itu, orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan anda, sila salurkan ke Hotline JSJN di talian 012-2087222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 12:11 PM