Hamzah Osman


KUMPULAN dikenali ‘Geng Kecik’ dikesan aktif dalam kegiatan samun bersiri kedai serbaneka 24 jam di sekitar Langkawi, sejak empat bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan mereka tidak bertahan lama apabila dua ahli kumpulan terbabit ditahan polis di sebuah rumah di Taman Dahlia, 6 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dua suspek lelaki itu berusia 29 dan 25 tahun manakala seorang lagi suspek berusia 17 tahun masih bebas dan sedang diburu polis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kumpulan yang dianggotai tiga suspek itu menyasarkan kedai serbaneka 24 jam di sekitar pulau peranginan itu.

“Tangkapan dibuat selepas laporan polis berkaitan kes samun bersenjata di sebuah kedai 24 jam di Kampung Temonyong, Mukim Kedawang pada 28 Ogos lalu.

“Dalam kejadian itu, suspek yang memakai topeng muka dan topi keledar serta bersenjatakan kayu menyamun kedai itu mengakibatkan kerugian lebih RM1,200,” katanya pada sidang media, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, modus operandi penjenayah adalah dengan bergerak secara berkumpulan pada awal pagi sebelum seorang daripadanya menyerbu masuk lalu mengugut pekerja wanita dengan kayu.

Beliau berkata, selepas mendapat hasil samun, penjenayah yang menyerbu ke dalam kedai kemudiannya keluar melarikan diri dengan rakan yang menunggu di luar kedai menggunakan motosikal.

“Sekurang-kurangnya empat kes samun membabitkan kedai serbanaka 24 jam sekitar pulau ini dipercayai didalangi suspek.

“Kedua-dua suspek ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan mencuri, selain positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk kayu, topeng muka, topi keledar, pisau bersarung, baju, duit syiling, baju, seluar dan sebuah motosikal Modenas,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari berakhir Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 6:10 PM
MOHD Iqbal (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian barangan dirampas daripada anggota kumpulan Geng Kecik pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman.
MOHD Iqbal (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian barangan dirampas daripada anggota kumpulan Geng Kecik pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman.