Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Seramai 52 penduduk Kampung Pulau Sekati, di sini tidak lena tidur mengenangkan nasib mereka yang diarahkan mengosongkan kawasan kediaman sebelum 17 Januari ini.

Bukan saja mereka diarahkan berpindah, malah 10 kediaman terbabit selepas pemilik tanah mahu mengambil semula penempatan itu juga mesti dirobohkan sendiri penduduk.

Seorang penduduk, Wan Maimun Wan Sharif, 66, berkata dia kini hilang arah dan tidak tahu ke mana hendak tinggal jika keluar dari kampung yang didiami sejak lahir itu.

Menurutnya, keadaannya kini uzur dengan penyakit kencing manis, darah tinggi dan bergantung kepada tongkat untuk berjalan.

"Mak cik sekarang tinggal bersama empat beranak dan kami bukannya ada duit untuk menyewa rumah kerana suami juga tidak sihat serta sudah lama tidak bekerja. Malah, anak-anak juga bukannya senang dan mereka juga hidup menyewa dengan keluarga masing-masing.

"Jadi, mak cik mohon dan merayu jasa baik pihak berkaitan khususnya kerajaan negeri Terengganu dapat membantu nasib kami ini dengan menyediakan penempatan baru dan kalau boleh tidak mahu tinggalkan kampung ini," katanya yang ditemui di sini, hari ini.

Wan Maimun berkata, sebelum ini mereka ada membuat permohonan dengan kerajaan negeri membuat penempatan baru di atas tanah rezab kerajaan dalam kampung itu, namun sehingga kini masih tiada keputusan diberikan.

"Kami sudah kesuntukan masa dan hanya menghitung hari saja. Sehubungan itu, berharap kerajaan negeri dapat membela nasib kami dengan menyediakan penempatan baru sebelum mengosongkan kawasan terbabit," katanya yang gagal menahan kesedihan.

Bagi Muda Mohammad, 70, berkata kebanyakan kediaman yang ada di kampung itu sudah didiami penduduk lebih 100 tahun lalu dan ia diwarisi empat generasi.

Bekas pemandu lori itu berkata, dia sedih apabila tempoh mengosongkan kampung terbabit semakin dekat selepas pemilik tanah menuntut semula hak tanah terbabit.

"Masalah sekarang adalah di mana mahu kami tinggal jika keluar dari kampung ini kerana tidak ada tanah atau rumah lain selain di pulau ini.

"Justeru, kami akur dengan keputusan yang diarahkan, cuma mengharapkan diberi penempatan baru bagi membolehkan kehidupan ini diteruskan seperti biasa," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Kampung Pulau Sekati, Mohd@Rashid Ismail, 72, berkata dia melahirkan rasa dukacita dengan apa yang berlaku terhadap nasib yang menimpa penduduk ini.

Menurutnya, penduduk bukan saja perlu mengosongkan kediaman semata-mata, malah turut perlu membawa bersama rumah masing-masing dalam tempoh yang diberikan.

"Jika penduduk robohkan kediaman mereka, ke mana mahu letak atau dirikan rumah yang baru dan saya bersimpati dengan nasib yang dialami.

"Bukan itu saja, jika penduduk ini tidak lagi tinggal di kampung ini ia sekaligus mengganggu aktiviti keagamaan di masjid dan solat Jumaat kerana mereka adalah kariah tetap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 12:34 PM
Penduduk Kampung Pulau Sekati, Wan Maimun Wan Sharif, 66, (Kanan) melihat surat arahan mahkamah yang mengarahkan mereka mengosongkan kediaman masing-masing. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK
Penduduk Kampung Pulau Sekati, Wan Maimun Wan Sharif, 66, (Kanan) melihat surat arahan mahkamah yang mengarahkan mereka mengosongkan kediaman masing-masing. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK