Zaid Salim


Kuala Terengganu: Jenazah tiga beranak yang maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 267.2, Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Cheneh, petang semalam, selamat dikebumikan, hari ini.

Jenazah Mohd Riduan Mohd Yaacob, 35, dan isteri, Zahidah Hanisah Mohamad, 35, serta anak perempuan pasangan terbabit, Raudhatul Khayra berusia tiga tahun dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sekati, Manir, di sini, 7.30 malam tadi.

Suasana pilu berserta hujan renyai mengiringi seramai kira-kira 300 orang terdiri ahli keluarga, sanak saudara, kenalan dan penduduk mengiringi tiga jenazah berkenaan ke tanah perkuburan yang terletak hanya kira-kira satu kilometer dari rumah keluarga.

IBU bapa arwah Mohd Riduan, Zawiah Abd kadir, 63, (dua dari kanan, hadapan) dan Mohd Yaacob Awang chick, 68, (kanan) ketika majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sekati.  FOTO Zaid Salim
IBU bapa arwah Mohd Riduan, Zawiah Abd kadir, 63, (dua dari kanan, hadapan) dan Mohd Yaacob Awang chick, 68, (kanan) ketika majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sekati. FOTO Zaid Salim

Terdahulu, kenderaan yang membawa tiga jenazah dari Hospital Kemaman tiba di perkarangan kediaman berkenaan 5.20 petang.

Suasana meruntun jiwa apabila ahli keluarga, saudara-mara, kenalan, keluarga, malah ada penduduk tidak dapat menahan kesedihan sebaik jenazah diusung keluar daripada van untuk tatapan keluarga buat kali terakhir sebelum disembahyangkan di ruang tamu kediaman berkenaan pada 6 petang.

Jenazah kemudian dibawa keluar dari perkarangan rumah untuk dibawa ke tanah perkuburan menggunakan tiga kenderaan jenazah sama 6.15 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 7:49 PM