Ahmad Hasbi


Nilai: Salah sikit saja. Itu dakwaan seorang pekerja sebuah premis yang menjual perhiasan di Kawasan Perindustrian Nilai 3, di sini, mengenai kesalahan ayat al-Quran pada barang perhiasan dijualnya.

Pekerja berasal dari Mesir itu sempat mempertikaikan salah satu ayat yang didapati salah dan membuka al-Quran bagi menunjukkan kepada penguat kuasa bahawa perhiasan yang dijual, adalah tidak salah.

Namun, Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) lebih cekap dan ternyata semakan mendapati memang terdapat kesalahan pada perhiasan dinding berkenaan.

Pemeriksaan lanjut di premis berkenaan menemui lebih banyak kesalahan, antaranya huruf, tajwid dan ayat yang tidak jelas serta sukar dibaca pada pelbagai perhiasan dinding lain.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JHEAINS, Nik Azlan Nik Man berkata, operasi bermula kira-kira 4 petang itu susulan penemuan perhiasan yang mengandungi ayat suci al-Quran yang dibuang di satu kawasan di Nilai.

"JHEAINS dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesan pelaku dalam kejadian pada 27 Disember lalu.

"Hasil risikan selama lima hari, kami mengenal pasti tiga premis yang menjalankan perniagaan perhiasan dinding ini. Pada hari ini, kami melakukan pemeriksaan di semua kedai berkenaan dan mengesan berlaku kesalahan ayat suci pada produk yang dijual," katanya ketika ditemui sejurus operasi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, memang terdapat kesalahan pada sebahagian perhiasan dinding yang melanggar etika seperti salah tanda baca, ayat kabur, kaligrafi yang sukar dibaca dan kecacatan huruf.

"Pemeriksaan juga mendapati premis ini tiada lesen perniagaan yang melanggar Undang-Undang Kecil 3 Perlesenan Tred dan Perindustrian 1996 MBS. Premis ini memang tiada rekod permohonan lesen.

"Tindakan sita premis diambil. Sebanyak 208 produk yang dianggarkan bernilai RM20,000 dirampas untuk tindakan lanjut oleh MBS.

"Penguatkuasa KDN merampas 26 barang yang dianggarkan bernilai RM7,720 yang dikesan mengandungi kesalahan pada ayat dan kalimah suci. Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 14 Akta Percetakan Teks al-Quran 1986.

"KDN turut merampas 80 produk dari dua lagi premis," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap produk yang mengandungi ayat atau kalimah suci tidak boleh terdapat kesalahan meskipun sangat kecil kerana ia akan mengubah maksudnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 9:54 AM
Penguatkuasa JHEAINS, MBS dan KDN melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Nilai 3, yang disyaki menjual perhiasan dinding mengandungi ayat dan kalimah suci yang tidak tepat. Foto Ahmad Hasbi.
Penguatkuasa JHEAINS, MBS dan KDN melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Nilai 3, yang disyaki menjual perhiasan dinding mengandungi ayat dan kalimah suci yang tidak tepat. Foto Ahmad Hasbi.