Anggota penguat kuasa merampas perhiasan mengandungi ayat al-Quran yang mempunyai kesalahan selepas membuat serbuan di beberapa kedai. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Anggota penguat kuasa merampas perhiasan mengandungi ayat al-Quran yang mempunyai kesalahan selepas membuat serbuan di beberapa kedai. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Aslina Abu Bakar


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) merampas 67 bahan cetakan termasuk perhiasan yang mengandungi ayat al-Quran di kedai di Kuala Terengganu, hari ini, kerana menyalahi undang-undang Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran.

Pihak berkuasa sebelum itu menjalankan serentak bermula 9 pagi dan memeriksa 11 kedai di Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus sebelum dua daripadanya dikesan melakukan kesalahan mengikut undang-undang Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran.

Ketua Penolong Setiausaha Unit Operasi dan Kawalan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN Shamsinar Mohd Jaafar berkata, pemeriksaan mendapati peniaga di Kuala Terengganu tidak mengendahkan arahan diberikan apabila masih menjual perhiasan kepada orang awam walaupun sudah tiga kali diberi arahan.

"Antara kesalahan yang dilakukan adalah menjual bahan pencetakan yang tidak mempunyai permit, menjual bingkai yang mengandungi ayat al-Quran dengan tulisan bercampur, tiada pengasingan ayat, kesalahan penandaan ayat, ayat tidak jelas, cetakan ayat yang berulang dan penulisan tidak jelas sehingga tidak mencerminkan bacaan atau huruf kalimah ayat al-Quran.

"Selain itu, peniaga juga didapati tidak mengikuti arahan penyimpanan barang apabila meletakkan ayat suci al-Quran di lantai sedangkan bahan berkenaan sepatutnya disimpan pada rak atau tempat lebih tinggi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 14 Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 yang mana barangan yang dirampas akan disita," katanya pada sidang media di Pejabat KDN, di Kuala Terengganu hari ini.

Shamsinar berkata, siasatan mendapati semua barangan berkenaan diambil daripada pengedar di ibu negara dengan kebanyakan bingkai al-Quran yang dirampas dicetak di China dan Pakistan.

Katanya, peniaga dan pembeli dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan memeriksa terlebih dulu sebelum membeli ayat al-Quran untuk dijadikan perhiasan.

"Kita memandang serius kesalahan yang direkodkan kerana bimbang boleh menimbulkan kekeliruan daripada segi bacaan seterusnya boleh mengubah maksud ayat al-Quran itu sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 5:40 PM