MUHAMMAD Sanusi Md Nor.
MUHAMMAD Sanusi Md Nor.
NoorazuraAbdul Rahman

Alor Setar: Projek Pembangunan Berintegrasi Bekalan Gas dan Loji Janakuasa serta hab kapal ke kapal (STS) di Pulau Bunting, Yan bernilai RM 14 bilion bermula tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri yakin projek itu mampu melonjak ekonomi negeri ini secara drastik apabila siap kelak.

"Pada masa sama, projek-projek pembangunan lain akan terus diberikan tumpuan khususnya Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di Zon Ekonomi Sempadan Khas Bukit Kayu Hitam serta Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap yang sedang menjadi perhatian komuniti pelabur dalam dan luar negara.

"Kawasan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) juga sedang diperluaskan bagi memenuhi permintaan pihak industri yang semakin meningkat. Selain itu, kita juga sedang mempersiapkan pembukaan sebuah kawasan perindustrian baharu, Gurun Industrial Smart Park (GISP) di Gurun," katanya dalam perutusan tahun baharunya hari ini.

Muhammad Sanusi berkata kesemua usaha berkenaan dilakukan bagi meningkatkan ekonomi rakyat Kedah khususnya menerusi peluang pekerjaan yang akan ditawarkan nanti.

Selain itu, katanya projek mega Kedah Aerotropolis yang antara komponennya termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) juga sudah menarik pelabur baharu.

"Kedah Aerotropolis yang antara lain menempatkan Sidam Logistics, Aerospace & Manufacturing (SLAM) akan menjadi hab operasi MRO (Maintenance, Repair & Overhaul) industri penerbangan bagi seluruh rantau Asia Tenggara," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata Kedah menerima masuk pelaburan dari dalam dan luar negara dengan nilai yang luar biasa dalam tempoh yang singkat pasca pandemik apabila merekodkan RM9.7 bilion pada separuh pertama tahun ini.

"RM68.3 bilion pada tahun 2021 dan RM9.7 bilion pada separuh pertama tahun 2022, dalam keadaan ekonomi global masih merangkak dalam fasa pemulihan, adalah sesuatu yang di luar jangkaan.

"Ini menggambarkan keyakinan komuniti pemodal terhadap pentadbiran negeri Kedah, dan bagi kita ini penting untuk kelestarian ekonomi negeri dalam jangka panjang," katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi mengajak rakyat bersama-sama menguatkan iltizam dengan jiwa yang cekal dan tabah untuk mendepani cabaran ekonomi yang dijangkakan lebih getir tahun depan.

"Mengikut unjuran pakar-pakar ekonomi, tahun 2023 akan hadir bersama cabaran yang lebih getir. Keadaan ekonomi dijangkakan tidak begitu sihat. Masyarakat dunia akan diuji dengan kegawatan yang agak berat.

"Pada masa yang sama, perkasakanlah daya tahan kita dengan cara yang betul, usaha yang strategik di samping sentiasa mendekatkan diri dengan Allah SWT. Janganlah kita terlalu kalut dengan usaha dan ikhtiar yang zahir hingga alpa dan mengabaikan segala tuntutan fardu," katanya.

Malah katanya, keputusan kerajaan Persekutuan baru-baru ini untuk menaikkan tarif elektrik (20sen/kw) dalam sektor komersil dan industri tentunya akan menaikkan kos operasi syarikat dan kos pengeluaran barangan keperluan pengguna yang dianggarkan mencecah sehingga 40 peratus.

"Ini sudah tentu akan mendatangkan kesan besar kepada ekonomi yang akhirnya akan membebankan rakyat.

"Bagi menghadapi situasi sukar di masa depan, sama-samalah kita mengambil langkah berjimat-cermat, merancang perbelanjaan dengan bijak dan berdoa semoga Allah SWT mempermudahkan kehidupan kita dan melindungi kita daripada kemudaratan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 7:48 PM