Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Lima rakan termasuk remaja perempuan masing-masing didenda RM1,000 di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, atas kesalahan merusuh sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki, 10 Disember lalu.

Terdahulu, semua tertuduh, Nur Aishah Mohammad Najib, 21, Muhammad Asyraf Mohd Ali, 21, Hafizul Fazrin Abdul Hakim, 22, Ahmad Thahaa Jasni, 21, dan Muhammad Safuan Mohamed Taib, 25, membuat pengakuan bersalah itu sejurus dibacakan pertuduhan oleh jurubahasa mahkamah.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman dalam penghakimannya menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan dan mensabitkan semua tertuduh, serta menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Beliau turut memerintahkan setiap tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda. Semua tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh bersama-sama yang masih bebas sebagai anggota perhimpunan yang menyalahi undang-undang dalam melaksanakan tujuan bersama didapati kekerasan digunakan oleh seorang atau lebih daripada mereka hingga menyebabkan kecederaan terhadap pengadu berusia 17 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Klebang Besar, dekat sini, kira-kira jam 10 malam, pada 10 Disember lalu

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 147, Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pengadu berjumpa dengan semua tertuduh di lokasi kejadian sebelum dipukul secara beramai-ramai oleh semua tertuduh dan rakan sejenayah yang masih bebas kerana disyaki pengadu merogol kenalan tertuduh.

Terdahulu, semua tertuduh diwakili peguam, Ishak Mohd Kari memohon dikenakan hukuman denda yang ringan mengambil kira semua mereka mengaku bersalah sejurus dibacakan pertuduhan.

Peguam juga berhujah bahawa semua tertuduh mendapat pengajaran sepanjang tiga hari berada dalam reman dan berjanji tidak mengulangi kesalahan pada masa depan selain bekerja dengan pendapatan rendah.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua tertuduh dan masyarakat untuk tidak mengulangi kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 4:37 PM
Tertuduh pertama, Nur Aishah Mohammad Najib bersama empat rakannya dibawa ke lokap mahkamah selepas kes selesai. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Tertuduh pertama, Nur Aishah Mohammad Najib bersama empat rakannya dibawa ke lokap mahkamah selepas kes selesai. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad