Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang lelaki dipenjara enam bulan manakala dua rakannya didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas kesalahan mencuri dan menyimpan barang kemas.

Hukuman itu dijatuhi Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh terhadap tertuduh, RC Navaratnam, 21, serta dua rakannya, KM Vinoth, 21, dan ST Prakash, 23, selepas mereka membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah secara berasingan.

Mengikut pertuduhan terhadap Navaratnam, dia didapati mencuri seutas rantai emas bernilai kira-kira RM5,000 di Han Cheong Goldsmith, 32, Jalan Kee Ann dekat sini, pada 20 April lalu, kira-kira jam 2.30 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, semasa pengadu dan pekerja berada di kedainya, tertuduh datang untuk melihat barang kemas sebelum mencuri satu daripada tiga rantai dilihatnya.

Dua pekerja kedai mengejar dan menangkap tertuduh bersama rantai emas dicuri tidak jauh dari lokasi kejadian.

Pengadu kemudian menghubungi polis dan sepasukan anggota Balai Polis Melaka Tengah melakukan tangkapan semula ke atas tertuduh dan merampas rantai emas itu.

Sementara itu, Vinoth dan Prakash didakwa memiliki atau menyimpan barang kemas, invois syarikat kedai emas serta kedai pajak dan wang tunai berjumlah keseluruhan RM3,870.

Mereka bagaimanapun gagal memberi penjelasan munasabah mengenai cincin, rantai, wang tunai dan invois dimiliki.

Kesalahan itu dilakukan mereka di lokasi berasingan di sekitar Melaka Tengah pada 20 April lalu, antara jam 9 hingga 10 malam.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam, N Gunalan yang mewakili semua tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya adalah pesalah muda, tiada rekod serta sudah insaf sejak ditahan di lokap pada 20 April lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

Selepas meneliti rayuan dan hujah kedua-dua pihak, Mohamad Izwan menjatuhi hukuman enam bulan penjara terhadap Navaratnam, manakala Vinoth dan Prakash masing-masing didenda RM1,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayarnya.

Majistret turut melahir rasa sedih berikutan pembabitan pesalah muda dengan jenayah sedangkan mereka boleh menyumbang sesuatu kepada faedah negara.

"Nasihat saya, jangan lagi terbabit dengan jenayah kerana ia merugikan," katanya.

Tertuduh, RC Navaratnam, 21 (kanan), KM Vinoth, 21, (kiri) dan ST Prakash, 23, (belakang) dibawa ke lokap mahkamah selepas prosiding kes selesai.- Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Tertuduh, RC Navaratnam, 21 (kanan), KM Vinoth, 21, (kiri) dan ST Prakash, 23, (belakang) dibawa ke lokap mahkamah selepas prosiding kes selesai.- Foto Meor Riduwan Meor Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 8:15 PM