GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang pengawal keselamatan didenda RM4,200 di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, tadi, kerana memeras ugut pelajar perempuan dan memiliki bahan lucah di dalam telefon bimbit.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Muhammad Azrul Haizat Juhari, 21.

Beliau turut menetapkan tertuduh dipenjara tambahan lima bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati melakukan pemerasan terhadap seorang pelajar perempuan sebuah kolej di daerah Melaka Tengah berusia 19 tahun dengan membuat kutipan wang tanpa alasan munasabah.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman pelajar kolej terbabit antara 27 hingga 28 Disember lalu, kira-kira 9 pagi hingga 2.20 pagi.

Oleh itu tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua seksaan itu, jika disabitkan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didapati memiliki bahan lucah di dalam telefon bimbitnya pada tarikh, masa dan di tempat sama iaitu kesalahan mengikut Seksyen 292 (A) Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes dibentangkan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri, antara lain menyatakan mangsa (pengadu) berkenalan dengan tertuduh dan berkomunikasi melalui aplikasi Telegram pada hari kejadian.

Ketika berbual tertuduh meminta pengadu membuat panggilan video sebelum tiba-tiba skrin menjadi gelap dan perbualan terhenti.

Selepas beberapa ketika, pengadu menerima video bogel dan diugut memberikan wang jika tidak mahu rakaman itu ditularkan.

Terdahulu, tertuduh merayu hukuman ringan kerana baru bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,200 sebulan dan menanggung ibu yang sudah tua manakala bapa sudah meninggal dunia.

Pendakwaan bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,200 dan RM2,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua atau penjara tiga dan dua bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 3:44 PM