Siti Rohana Idris

Tumpat: "Allah sahaja yang tahu perasaan kami apabila melihat keadaan dalam rumah yang dipenuhi selut dan sampah sarap sebaik pintu dibuka," kata Zauyah Deraman,

Zauyah, 36, yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal berkata, dia dan ibunya, Fatimah Yusof, 74, menumpang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat dan kembali ke rumah selepas enam hari 'melarikan diri' dari banjir.

Dia berkata, selepas mendaftar keluar dari PPS jam 2 petang tadi, dia segera pulang dan sebaik membuka pintu rumah, alangkah terkejutnya apabila melihat keadaan dalamnya huru-hara.

"Banjir kali ini paling teruk dialami dan situasinya seakan musibah sama pada 2014 yang mana paras air dalam rumah mencecah 0.7 meter (m).

"Habis perabot ditenggelami air dan paling sedih adalah mesin basuh serta peti ais turut rosak dan memang menjadi kesulitan bagi saya yang OKU ini untuk mencuci pakaian selepas ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ana, di sini, hari ini.

Zauyah berkata, air melimpah masuk ke perkarangan rumahnya sejak petang Isnin dan naik mendadak menjelang malam menyebabkan dia segera menghubungi rakan untuk meminta bantuan berpindah.

Dia yang hanya tinggal berdua bersama ibunya yang sudah uzur berkata, sebaik tiga rakan tiba, mereka segera mengemas dan meletakkan perabot lebih tinggi supaya tidak terkena air.

MOHD Rusli menziarah Zauyah dan Fatimah di Kampung Ana. FOTO SITI ROHANA IDRIS
MOHD Rusli menziarah Zauyah dan Fatimah di Kampung Ana. FOTO SITI ROHANA IDRIS

"Rupa-rupanya kali ini limpahannya lebih tinggi dari sebelum ini yang hanya 0.4 meter dan banyak barangan dalam rumah sudah tidak boleh digunakan dan terpaksa dibuang.

"Setiap hari ketika di PPS, saya meminta bantuan dari jiran yang tidak berpindah untuk menghantar gambar keadaan rumah dan selama tiga hari air bergenang dalam rumah menyebabkan lantai serta dinding menjadi reput," katanya dalam kesedihan.

Terdahulu Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah hadir memberikan bantuan makanan asas.

Kerja mencuci rumah Zauyah yang cacat kedua belah tangan dan kaki itu dijalankan oleh pasukan dari Jabatan Amal dan wakil parlimen Kuala Kangsar, Perak.

Zauyah meluahkan rasa syukur kerana ada pihak yang prihatin dengan nasibnya dan ibu kerana jika tiada yang membantu, sudah tentu tidur mereka dua beranak malam nanti beralaskan selut.

"Adik beradik saya yang lain tinggal di luar Kelantan dan ada juga sebahagian mereka yang turut terjejas banjir.

"Jika dapat pulang sekalipun, kami berdepan dengan masalah air sekaligus menyulitkan kerja pembersihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 5:49 PM