Anggota bomba melakukan pemeriksaan di rumah yang terbakar di Taman Kulim Utama, Kulim Hi-Tech, petang tadi. FOTO Azahar Hashim
Anggota bomba melakukan pemeriksaan di rumah yang terbakar di Taman Kulim Utama, Kulim Hi-Tech, petang tadi. FOTO Azahar Hashim
Azahar Hashim


Kulim: Rumah teres dua tingkat musnah 70 peratus dan kereta Perodua Viva rosak di bahagian depan dalam kebakaran bermula di bahagian dapur di Taman Kulim Utama, Kulim Hi-Tech, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, pemiliknya tiada di rumah kerana pulang ke kampung sempena cuti Hari Kebangsaan dan kerugian dianggarkan hampir RM400,000.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech Penolong Penguasa Bomba Mohd Azizi Abdullah berkata,pihaknya menerima panggilan pada 2.39 petang.

Menurutnya, 11 anggota bersama sebuah jentera bomba dan ambulans Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) ke lokasi.

"Jentera bomba dari BBP Kulim serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas turut membantu memadamkan kebakaran.

"Api dapat dikawal 10 minit kemudian dan rumah terbabit musnah 70 peratus namun punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, pemilik rumah terbabit Zauyah Salleh, 44, berkata, ketika kejadian itu, dia tiada di rumah kerana pulang ke kampung di Kampung Bukit Bertam, Selama, Perak.

Katanya, dia bersama suami, Zainuddin Mohd Khairi, 46, dan seorang anak perempuan keluar dari rumah pada 10 pagi.

"Bagaimanapun, petang tadi saya menerima mesej menerusi aplikasi WhatApps dari jiran yang memaklumkan rumah terbakar menyebabkan kami segera pulang.

"Apabila sampai kami lihat semua barangan musnah termasuk sebuah kereta jenis Perodua Viva yang diletakkan di halaman rumah rosak di bahagian depan," katanya.

Zauyah berkata, lebih menyedihkan dua ekor kucing peliharan yang dibela sejak empat tahun lalu turut mati dalam kebakaran itu.

"Sehingga kini kami masih belum tahu lagi punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian dianggarkan hampir RM400,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 9:29 PM