SUASANA di PPS yang dibuka bagi menempatkan mangsa terkesan dengan fenomena air pasang, di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan APM
SUASANA di PPS yang dibuka bagi menempatkan mangsa terkesan dengan fenomena air pasang, di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan APM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Jumlah mangsa terjejas banjir dan air pasang besar di Sabah terus meningkat iaitu seramai 1,363 orang daripada 316 Ketua Isi Rumah (KIR), setakat jam 4 petang ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, jumlah itu membabitkan empat daerah, iaitu Pitas, Kota Belud, Kota Kinabalu dan Sandakan.

"Pagi 8 pagi tadi, mangsa banjir dan air pasang besar seramai 1,149 orang daripada 284 KIR dan kini meningkat kepada 1,363 orang daripada 316 KIR.

"Pitas masih mencatatkan jumlah mangsa terkesan yang tertinggi, iaitu seramai 721 orang. Diikuti dengan Sandakan (376 orang), Kota Belud (212 orang) dan Kota Kinabalu (54 orang).

"Trend semasa situasi di negeri ini masih meningkat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, 10 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri.

"Enam daripadanya terdapat di Pitas, iaitu Balai Raya Agropolitan Kampung Pinggan-Pinggan (277 orang), Dewan Kampung Mempakad (163 orang), dan Dewan Terbuka Kampung Rosob (156 orang).

"Selain itu, ialah Gereja SIB Kampung Luntuk (79 orang), Dewan SMK Pinggan-Pinggan (33 orang) dan Dewan Terbuka Kampung Salimpodon (13 orang).

"Manakala, terdapat dua PPS aktif di Kota Belud, iaitu Dewan SJK (C) Chung Hwa (150 orang) dan Dewan SK Pekan (62 orang).

"Sementara di Kota Kinabalu dan Sandakan masing-masing kekal dengan satu PPS aktif, iaitu Dewan Muhibbah Sembulan (54 orang) dan SK Sungai Anib 2 (376 orang)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 5:37 PM